Op Jangkar Haram: 18 kapal bersauh tanpa kebenaran ditahan

Kamaruszaman ( tengah) menunjukkan kawasan operasi khas Jangkar Haram di sekitar perairan Johor Timur.
Kamaruszaman ( tengah) menunjukkan kawasan operasi khas Jangkar Haram di sekitar perairan Johor Timur.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) negeri menahan 18 kapal yang berlabuh tanpa kebenaran di sekitar perairan Johor Timur dalam operasi khas Jangkar Haram selama tujuh hari yang berakhir pada 30 Mac.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, kesemua kapal yang ditahan merupakan jenis kapal tangki yang berdaftar dari negara asing.

"Kesemua kapal yang ditahan kini dalam siasatan untuk dihadapkan ke mahkamah di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B(1)(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

" Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Nurul Hizam, operasi berskala besar itu membabitkan lima buah kapal, empat buah bot, dua helikopter jenis AW139 dan dua pasukan daripada pasukan tindakan khas dan penyelamat turut berjaya menghalau 71 buah kapal.

Katanya, kapal berkenaan yang berlabuh secara haram meninggalkan lokasi manakala sembilan lagi mendapatkan kebenaran bersauh.

"Maritim memandang serius kegiatan yang dilaporkan apabila terdapat peningkatan statistik kapal yang bersauh tanpa kebenaran mencecah 105 buah kapal terutama di perairan Johor Timur iaitu di sekitar perairan Tompok Utara, Permatang Timur dan Beting Ramunia, di dalam wilayah perairan Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan: