MPSepang lulus permohonan 587 peniaga bazar Ramadan

Abd Hamid
Abd Hamid
A
A
A

SEPANG - Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) meluluskan 587 permohonan peniaga membabitkan 13 lokasi bazar Ramadan.

Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, bagaimanapun permohonan sudah ditutup pada Jumaat lalu dan 204 pemohon lagi dimasukkan dalam senarai menunggu.

Menurutnya, MPSepang menetapkan syarat tambahan bagi memenuhi kawalan ke atas prosedur operasi standard (SOP) ketika Covid-19 antaranya penjualan makanan berkonsep 'pre-heat' dan sedia untuk dimakan sahaja.

"Tidak dibenarkan memanggang dan membakar makanan daripada bahan asas. Meja jualan yang digunakan perlu 0.61 meter kurang daripada keluasan petak.

"Peniaga juga dilarang meninggalkan barangan perniagaan di tapak selepas tamat operasi dan tapak niaga perlu disanitasi sebaiknya untuk penggunaan hari berikutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Abd Hamid berkata, MPSepang turut menyusun kedudukan peniaga iaitu dua petak untuk setiap peniaga bagi mematuhi penjarakan sosial dan memudahkan kawalan.

"Selain itu, peniaga diwajibkan menutup tepi dan belakang khemah menggunakan material yang sesuai atau khemah jenis gazebo.

"Peniaga juga wajib menggunakan khemah berukuran petak yang disediakan sahaja, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, peniaga boleh membuat bayaran lesen dan permit bermula 6 April hingga 8 April 2021.