Hishammuddin lawat China esok

Hishammuddin Tun Hussein -Foto Bernama
Hishammuddin Tun Hussein -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke China bermula esok atas undangan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, kunjungan itu merupakan lawatan rasmi pertama Hishammuddin ke republik itu sejak dilantik sebagai menteri pada 10 Mac 2020.

Beliau dan Wang Yi, bersama-sama akan mempengerusikan mesyuarat dua hala antara delegasi Malaysia dan China.

Wang Yi, yang juga Anggota Dewan Negara, membuat kunjungan rasmi ke Malaysia pada Oktober 2020.

"Kedua-dua pihak akan membincangkan inisiatif baharu untuk memacu kerjasama dua hala dengan tumpuan khusus terhadap kerjasama pasca pandemik, termasuk perjalanan rentas negara dan kerjasama dalam bidang vaksin

“Malaysia dan China telah mewujudkan kerjasama erat dalam pelbagai bidang dan perkongsian strategik komprehensif. Lawatan ini penting untuk memastikan penjanaan semula aktiviti dua hala dan kesalinghubungan dapat dilaksanakan,” kata kenyataan itu.

Selain itu, kedua-dua pihak akan membincangkan pelbagai isu semasa serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Berdasarkan hala tuju Sidang Kemuncak ASEAN - China Ke-23, kedua-dua negara akan turut memberi tumpuan kepada usaha untuk menjayakan ASEAN – China Year of Sustainable Development Corporation, pengukuhan kerjasama dalam Ekonomi Biru dan membincangkan isu sejagat melibatkan keselamatan serantau

Artikel Berkaitan:

Lawatan Hishammuddin akan dilaksanakan dengan pematuhan sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan serta kesihatan ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Kesihatan Nasional China.

Hubungan dua hala Malaysia dan China terus maju dan kukuh, walaupun dibelenggu cabaran Covid-19, dengan dagangan kedua-dua berkembang 4.2 peratus mencecah RM329.77 bilion pada 2020.

China kekal rakan dagang utama Malaysia untuk 12 tahun berturut-turut dan menyumbang 18.6 peratus kepada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia manakala eksport ke China menyumbang 16.2 peratus kepada jumlah keseluruhan eksport Malaysia ke luar negara pada tahun lalu.

Malaysia dan China meningkatkan hubungan dua hala daripada 'Perkongsian Strategik' kepada 'Perkongsian Strategik Komprehensif' pada 2013, membuka satu lagi lembaran baharu dalam sejarah hubungan dua hala Kuala Lumpur dan Beijing. - Bernama