Mahasiswa perubatan dipilih terima Biasiswa Selangor Bitara

Emir (tiga dari kanan) bergambar Amirudin sewaktu Majlis Penyerahan Surat Tawaran Biasiswa Khas Datuk Menteri Besar & Biasiswa Selangor Bitara yang berlangsung di Bilik MTES, pada Rabu.
Emir (tiga dari kanan) bergambar Amirudin sewaktu Majlis Penyerahan Surat Tawaran Biasiswa Khas Datuk Menteri Besar & Biasiswa Selangor Bitara yang berlangsung di Bilik MTES, pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang mahasiswa anak Selangor menjadi individu pertama menerima Biasiswa Selangor Bitara berjumlah RM1.1 juta untuk kegunaan pengajiannya selepas ini.

Emir Haady Imran Zulkharnain, 18, dipilih bagi menerima biasiswa itu selepas menjadi penuntut termuda yang diterima masuk ke Royal College of Surgeon, Ireland pada usia 16 tahun.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Biasiswa Bitara merupakan penjenamaan semula Program Selangor Brain Bank yang dikhaskan untuk pengajian dalam bidang industri kritikal peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) di universiti terkemuka luar negara.

"Pemberian biasiswa ini kepada Emir merupakan satu pengiktirafan atas pencapaian beliau yang sebelum ini diterima masuk ke institusi berkenaan pada usia muda," katanya sewaktu berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Biasiswa Khas Datuk Menteri Besar & Biasiswa Selangor Bitara yang berlangsung di Bilik Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), pada Rabu.

Dalam majlis sama, empat orang mahasiswa cemerlang turut dipilih menerima Biasiswa Khas Datuk Menteri Besar yang telah diperkenalkan sejak tahun 2017 lalu.

Dalam pada itu, Emir ketika ditemuramah pemberita memaklumkan dia amat terharu apabila dipilih bagi menerima anugerah berkenaan oleh kerajaan negeri.

Emir berkata, dia akan berusaha keras bagi menamatkan pengajiannya dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan yang dijangka tamat pada tahun 2024 nanti.

"Saya berjanji berusaha keras dan memberi komitmen kepada negeri dan negara," katanya.

Artikel Berkaitan: