X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Dibelasah kerana tegur pemandu lain di lampu isyarat

Mangsa cedera termasuk patah gigi selepas dibelasah di lampu isyarat, Jalan Kolam, Kota Kinabalu.
A
A

KOTA KINABALU - Hanya kerana menegur pemandu lain di kawasan lampu isyarat, seorang lelaki patah tujuh gigi serta cedera di kepala dan tangan akibat dibelasah dalam kejadian di Jalan Kolam pada Isnin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa berusia 21 tahun yang memandu kereta jenis Honda S660 dikatakan berselisih dengan sebuah kereta jenis Perodua Alza.

Ketika kejadian di lampu isyarat, mangsa dikatakan menegur pemandu kereta Perodua Alza kerana tidak memberikan isyarat untuk masuk ke lorong laju.

Akibat kejadian itu, keadaan tidak terkawal sehingga pemandu Perodua Alza dikatakan bertindak memecahkan cermin kereta mangsa dengan menggunakan sebatang besi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi berkata, mengikut laporan yang diterima, suspek turut dikatakan memukul mangsa di kepala dan tangan menggunakan batang besi berkenaan.

"Suspek kemudian masuk semula ke dalam kenderaannya dan terus meninggalkan lokasi kejadian.

“Mangsa yang cedera kemudian dibantu orang awam untuk keluar dari kenderaan. Mangsa menghubungi ahli keluarga sebelum dibawa mendapatkan rawatan di hospital berhampiran," katanya pada Rabu.

Habibi berkata, setakat ini suspek berusia 36 tahun itu sudah dikenal pasti dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan jika sabit kesalahan, boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!