Bersatu Bahagian Pontian cabar Hasni di Benut

ISA
ISA
A
A
A

PONTIAN - Kenyataan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad yang mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin lemah di Pagoh dilihat hanya untuk manfaat politik dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pontian sedia mencabar beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut.

Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Datuk Isa Ab Hamid berkata, kenyataan itu dilihat tidak "cocok" dengan keadaan politik di Johor yang menyaksikan kerajaan negeri dibentuk hasil daripada sokongan Bersatu.

"Jika UMNO menyatakan sanggup bertanding di Pagoh, Bersatu juga akan cabar Hasni di DUN Benut. Menang atau kalah itu cerita lain, tetapi pokoknya Bersatu akan beri saingan dalam gelanggang politik di Johor.

"Berkenaan kajian daripada UMNO Johor, orang Melayu di negeri ini yang menyokong Perikatan Nasional (PN) hanyalah 26 peratus, saya tegaskan di sini itu kajian mereka ( UMNO) bukan kajian yang dilakukan badan bebas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau yang merupakan Senator Dewan Negara berkata, Bersatu juga mempunyai pilihan untuk menarik sokongan daripada kerajaan negeri yang dibentuk hasil gabungan Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan Pas di Johor.

Namun, tindakan itu dirasakan tidak akan dilakukan Bersatu dalam keadaan negara kini berdepan penularan Covid-19 dan ekonomi yang mencabar iaitu soal rakyat perlu diutamakan berbanding kepentingan politik.

"Kalau hendak saling menjatuhkan masing-masing ( Bersatu dan UMNO) ada peluang. Namun masyarakat pada masa sekarang mahukan negara yang stabil.

"Saya yakin rakyat tidak mahu pemimpin mereka bergaduh, berselisih faham, biarlah mereka tentukan keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU15) nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO sempena PAU 2020 berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin lemah di kawasannya dan berdasarkan kajian UMNO Johor, orang Melayu di negeri itu yang menyokong PN hanya 26 peratus.

"Biar kami rancang cara mana dan bagaimana untuk kami melemahkan Bersatu di Johor. Ini kerana pengerusinya adalah Perdana Menteri yang akan membawa segala bentuk kekuatan dan keupayaan yang ada. Ini untuk memastikan beliau dan partinya berkuasa di Johor," kata Hasni.