X

Kindly register in order to view this article
!

IHPR Malaysia catat peningkatan 2.7 peratus

Mohd Uzir
A
A

SHAH ALAM - Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia untuk pengeluaran tempatan meningkat 2.7 peratus pada Februari 2021 berbanding negatif 0.1 peratus pada Januari 2021.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ia berikutan perubahan positif pertama yang dicatatkan setelah mengalami pertumbuhan negatif 11 bulan berturut-turut sejak Mac lalu.

"Indeks pertanian, perhutanan dan perikanan terus meningkat 35.0 peratus berbanding 22.6 peratus pada bulan sebelumnya manakala, indeks sektor pembuatan dan bekalan air pula masing-masing meningkat 1.5 peratus dan 0.8 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut Mohd Uzir berkata, indeks perlombongan mencatatkan perubahan negatif 11.0 peratus, bertambah baik dari negatif 28.3 peratus pada Januari lepas.

Bagaimanapun, katanya, indeks bekalan elektrik dan gas turun 1.9 peratus, bersamaan dengan bulan sebelumnya.

"Bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan menunjukkan peningkatan 1.5 peratus pada Februari 2021 lebih rendah daripada 2.0 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

“Sektor pembuatan dan pertanian, perhutanan serta perikanan masing-masing meningkat dengan pertumbuhan perlahan iaitu 0.5 peratus. Malah sektor perlombongan turut mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi iaitu 12.9 peratus berbanding 11.3 peratus yang direkodkan pada bulan Januari.

“Bekalan elektrik dan gas juga mencatatkan pertumbuhan positif iaitu 0.3 peratus, manakala indeks bekalan air turun 0.4 peratus." katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau memaklumkan IHPR pengeluaran tempatan bagi kesemua peringkat pemprosesan mencatatkan peningkatan pada Februari lepas.

“Peningkatan lebih tinggi dicatatkan oleh bahan mentah untuk diproses selanjutnya dengan pertumbuhan 10.0 peratus manakala, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen serta barang siap masing-masing meningkat 1.5 peratus dan 0.4 peratus,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!