Lima kilang kitar semula beroperasi secara haram

Veerapan (dua, kiri) mendengar penjelasan Norhazni selepas selesai mesyuarat.
Veerapan (dua, kiri) mendengar penjelasan Norhazni selepas selesai mesyuarat.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengenal pasti 32 kilang kitar semula sisa plastik di negeri ini dan lima daripadanya beroperasi secara haram.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, 27 premis memiliki lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kelulusan mengimport plastik terpakai dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) hanya diperoleh oleh lima premis dan satu premis telah menutup operasinya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kilang Kitar Semula Sisa Plastik yang turut dihadiri Pengarah JAS negeri, Norhazni Mat Sari di JAS Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan melakukan pemutihan menerusi penguatkuasaan bersama Jabatan yang terlibat bagi mengelakkan kilang beroperasi secara haram.

"Sepanjang tempoh penguatkuasaan, kami mengambil tindakan berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang melibatkan 33 notis amaran, tiga tawaran kompaun, tiga kertas siasatan dibuka, 12 sitaan operasi kelengkapan dan satu perintah larangan," katanya.

Sementara itu, Norhazni berkata, semua 32 kilang berkenaan terletak di Seremban, Nilai, Port Dickson, Tampin dan Jempol.

"Bagi permohonan proses kitar semula plastik, premis mestilah terletak di kawasan industri, serasi dengan kilang sekitar, memiliki sistem kawalan pencemaran udara yang baik dan mempunyai sistem pengolahan efluen bagi premis melakukan pencucian plastik.

Artikel Berkaitan:

"Manakala pihak kilang perlu mengutamakan bekalan domestik terlebih dulu sebelum mempertimbangkan untuk mengimport plastik," katanya.