X

Kindly register in order to view this article
!

Stesen Bank Rakyat-Bangsar tampil berwajah baharu

Abdul Rani (tengah) melihat wajah baharu Stesen Bank Rakyat-Bangsar bersama Syed Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan, Dr. Mohammad Hanis Osman ketika majlis pelancaran berkenaan.
A
A

BANK Rakyat menampilkan wajah baharu Stesen Bank Rakyat-Bangsar sebagai langkah penjenamaan semula stesen transit aliran ringan berkenaan yang terletak kurang satu kilometer dari ibu pejabat Bank Rakyat di Brickfields, Kuala Lumpur.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar berkata, imej baharu berkenaan merupakan langkah penjenamaan utama Bank Rakyat sejajar dengan visinya untuk menjadi Bank Koperasi Islam Progresif pertama di Malaysia dengan meningkatkan kesejahteraan ekonomi anggota, pelanggan dan negara.

“Selain menjadi antara inisiatif strategik meningkatkan jenama serta imej Bank, penajaan Stesen Bank Rakyat-Bangsar yang bermula sejak 2015 ini turut mewakili tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Rakyat dalam pembangunan sektor pengangkutan awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Rabu, Abdul Rani telah merasmikan pelancaran wajah baharu Stesen Bank Rakyat-Bangsar di Kuala Lumpur.

Sementara itu, menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, pembabitan Bank Rakyat di Stesen Bank Rakyat-Bangsar dalam jangka masa panjang akan mengembangkan lagi asas pelanggannya dan membantu mengukuhkan jenamanya serta meraih pasaran baharu dalam kalangan pengguna stesen tersebut.

“Inisiatif ini juga amat signifikan kepada Bank Rakyat dan orang ramai kerana ia merupakan satu-satunya bank yang diberikan hak penjenamaan stesen di Malaysia oleh Prasarana Malaysia Berhad,” katanya.

Bersempena usaha penjenamaan itu, Bank Rakyat turut menyerahkan kelengkapan persekolahan kepada 300 murid dari dari Sekolah Kebangsaan Taman Ehsan, Kepong, Sekolah Kebangsaan Manjalara, Kepong dan Sekolah Kebangsaan Sungai Tua Baharu, Batu Caves, Selangor.

Syed Abdul Aziz berkata, sumbangan ini dilaksanakan bagi membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan menyediakan keperluan yang lengkap untuk anak-anak mereka dalam melakukan persiapan persekolahan, terutama sekali kepada mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada CSR dan tanda keprihatinan Bank Rakyat kepada masyarakat yang terjejas,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!