Malaysia perlu lakukan aturan semula: Gabenor BNM

Nor Shamsiah -Foto Bernama
Nor Shamsiah -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu melakukan aturan semula dan merebut peluang pertumbuhan baharu untuk bangkit kembali dengan lebih kukuh daripada impak pandemik, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau mencadangkan fokus perlu diberi untuk menarik pelaburan berkualiti dan membina kapasiti inovasi, meningkatkan kompleksiti ekonomi serta melakukan pembaharuan perlindungan sosial.

“Menyasarkan tempoh yang lebih panjang, krisis itu juga menyediakan peluang kepada Malaysia untuk membuat aturan semula dan membina asas yang lebih kukuh dalam pelbagai bidang.

“Pembaharuan (struktur) akan meletakkan Malaysia di kedudukan yang lebih baik bagi mencatatkan pemulihan ekonomi yang bertahan lama dengan tenaga kerja tangkas dan berdaya tahan, pertumbuhan berlandaskan inovasi serta perlindungan sosial bagi kumpulan rentan,” katanya pada sidang media maya mengenai Laporan Tahunan BNM 2020 pada Rabu.

Nor Shamsiah berkata, hampir kesemua usaha untuk memangkinkan transformasi ekonomi, terutamanya penambahbaikan ekosistem pelaburan diperlukan untuk menarik dan memudahkan pelaburan yang boleh mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi.

Menurutnya, dasar berkaitan buruh untuk meningkatkan mekanisma latihan dan padanan serta memantapkan daya tahan pekerja, perlu melengkapkan usaha-usaha ini.

Selain itu, katanya, dasar menyeluruh juga diperlukan dalam pasaran buruh untuk menyokong pemulihan daripada krisis dan mempersiap tenaga kerja bagi pekerjaan pada masa depan.

Beliau berkata, krisis pandemik Covid-19 telah memburukkan cabaran struktur dalam pasaran buruh negara dan halangan struktur yang berlaku memberi kesan kepada prospek pekerjaan dan pendapatan pada masa depan.

Artikel Berkaitan:

Model pengeluaran kos rendah menekan kenaikan gaji dan produktiviti, pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi tidak mencukupi untuk bergerak seiring dengan kelahiran graduan baharu dan tidak ada kesepadanan antara keperluan pekerja dan industri, katanya.

“Berikutan pandemik itu, segmen rentan pasaran buruh lebih terjejas, terutamanya golongan wanita, pekerja bukan standard dan belia, dengan kadar kehilangan pekerjaan yang lebih tinggi.

“Pada masa depan, jangkaan pemulihan yang tidak sekata dan penggunaan pendigitalan dan teknologi utama yang lebih pantas mungkin menampung sedikit isu-isu ini,” ujarnya.

Mengenai pembaharuan inovasi, beliau berkata, sudah sampai masanya bagi Malaysia untuk memulakan pembaharuan 3D - ‘accelerate Digitalisation’ (mempercepat Pendigitalan), ‘rethink Downstreaming’ (mengkaji semula Penghiliran), dan ‘reduce Distortion’ (mengurangkan Herotan), yang akan mengaturkan semula Malaysia mencapai pertumbuhan berkualiti tinggi.

“Pendekatan memandang kehadapan penting dalam dunia pasca pandemik penting dan memerlukan dasar yang lebih fleksibel dan boleh disesuaikan untuk meraih manfaat daripada peralihan pantas trend global,” katanya.

Menyentuh mengenai ekonomi digital, Nor Shamsiah berkata, bahagian ekonomi digital dijangka mencecah hampir 23 peratus menjelang tahun 2025 disokong oleh langkah-langkah di bawah MyDigital - Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, Jalinan Digital Negara (Jendela) dan pelancaran 5G.

Beliau menjangka bahagian ekonomi digital meningkat lebih tinggi pasca Covid-19 dengan pelaksanaan lebih meluas penyusunan bekerja dari rumah serta peningkatan e-pembayaran dan e-dagang.

"Ekonomi kita dapat mengharungi gangguan yang disebabkan oleh pandemik kerana teknologi. Ia juga sudah pastinya adalah penentu penting bagi laluan pertumbuhan Malaysia,” katanya.

Ekonomi digital menyumbang kira-kira 19.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasara (KDNK) Malaysia pada 2019, manakala aktiviti e-dagang sahaja menyumbang 8.4 peratus daripada KDNK.

Mengulas mengenai kedudukan kewangan bank pusat, Nor Shamsiah berkata ia kekal stabil pada tahun 2020.

Pada 31 Disember 2020, keseluruhan aset berjumlah RM448.04 bilion, manakala rizab antarabangsa sebanyak US$107.6 bilion bersamaan dengan RM432.37 bilion.

BNM merekodkan keuntungan bersih RM10.4 bilion yang mana RM6.24 bilion dipindahkan kepada dana rizab dan RM4 bilion akan dibayar sebagai dividen kepada kerajaan. - Bernama