Sindiket disyaki dalangi lima skim pelaburan tak berlesen disiasat

SC sedang menyiasat satu sindiket yang disyaki mendalangi lima skim pelaburan tidak berlesen, termasuk dua skim firma klon yang telah menipu ratusan pelabur.
SC sedang menyiasat satu sindiket yang disyaki mendalangi lima skim pelaburan tidak berlesen, termasuk dua skim firma klon yang telah menipu ratusan pelabur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang menyiasat satu sindiket yang disyaki mendalangi lima skim pelaburan tidak berlesen, termasuk dua skim firma klon yang telah menipu ratusan pelabur dengan jumlah lebih RM7 juta dalam aktiviti pelaburan yang tidak berlesen.

Susulan aduan dan maklumat daripada orang ramai, SC baru-baru ini telah menyerbu beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan merampas rekod dan peranti yang digunakan oleh sindiket tersebut, katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

“SC turut merampas pelayan (server) yang digunakan sindiket itu dalam menjalankan skim penipuan. Siasatan sedang dijalankan atas kesalahan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007,” tambahnya.

Menurut SC, siasatan awal menunjukkan bahawa sindiket berkenaan telah menjalankan sekurang-kurangnya lima skim pelaburan tidak berlesen sejak 2016 iaitu Amal Trust (juga dikenali sebagai Wakala Ventures atau AML Global); Asia Equity Ventures; Equity Global Business; Lindale Ventures dan Waheed Ventures (turut dikenali sebagai Waheed Trading atau Wadeed Global Ventures).

Orang ramai yang telah berurusan dengan skim-skim tidak berlesen ini atau dengan wakilnya diminta untuk tampil memberikan maklumat yang berkaitan kepada pihak SC dengan menghubungi 012-6113519 atau e-mel aduan@seccom.com.my.

“Kesemua lima skim ini telah dimasukkan ke dalam Senarai Peringatan Pelabur SC dan SC turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menyekat laman-laman web yang berkaitan.

“SC ingin mengingatkan para pelabur agar sentiasa berhati-hati ketika menilai peluang pelaburan, terutamanya yang menjanjikan pulangan yang sangat tinggi dengan sedikit atau tanpa risiko. Pelabur juga disarankan agar mendapatkan bimbingan penasihat berlesen yang sah,” katanya.

Ia menggesa pelabur untuk mengesahkan status individu atau syarikat yang menawarkan peluang pelaburan melalui laman web SC www.sc.com.my/regulation/licensing/licensed-and-registered-persons dan www.sc.com.my/development/digital/list-of-registered-recognized-market-operators - Bernama

Artikel Berkaitan: