Penempatan haram baharu tidak boleh dibina: Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan bagi memastikan tiada penempatan haram baharu masyarakat Melayu Islam Kedah (MIK) dibina di Langkawi.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa di Langkawi untuk mengambil langkah hadkan penempatan haram daripada berkembang.

"Melalui mesyuarat jawatankuasa penguatkuasaan Pejabat Tanah di peringkat negeri dengan khusus di Langkawi, kita sudah maklumkan semua penempatan haram baharu tidak boleh dibina.

"Tindakan undang-undang akan diambil, malah Pejabat Tanah Langkawi telah memulakan proses menguatkuasakan undang-undang," katanya ketika diminta mengulas langkah Kedah untuk mengehadkan pertambahan penempatan haram baharu di Bukit Malut.

Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang memiliki segala maklumat, rekod pendaftaran dan kerakyatan golongan berkenaan diharap menguruskan perpindahan mereka segera.

"Disebabkan itu, kita suruh MKN yang uruskan dan Kedah bersedia memberi kerjasama untuk pindahkan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut melahirkan kebimbangan penempatan haram di kawasan berkenaan melarat jikalau projek pembangunan tidak dilaksanakan.

"Jikalau projek tidak mengambil tempat dan tanah kosong, maka dia akan melarat. Jadi penduduk terlibat diharapkan bersetuju untuk berpindah dengan adanya projek pembangunan di lokasi itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, seperti mana rakyat Malaysia lain, penduduk MIK juga hendaklah membeli kediaman apabila perumahan didirikan untuk mereka dan yang sah sahaja dibenarkan mendiaminya.