Nelayan kedua jatuh bot ditemukan terapung

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

PARIT BUNTAR - Seorang lagi nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot akibat cuaca buruk berjaya ditemukan di Perairan Tanjung Piandang di sini pada Rabu.

Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, mayat Cheah Teang Khee, 61, ditemukan terapung di kedudukan 7.5 batu nautika barat muara Kuala Kurau kira-kira jam 12.23 tengah hari.

"Mayat mangsa ditemui oleh komuniti nelayan tempatan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Mayat segera dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin di sini dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.

"Dengan penemuan mangsa, SAR yang bermula sejak Selasa ditamatkan pada jam 2 petang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat mengesahkan penemuan mangsa kedua itu.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan dua nelayan hilang di dua lokasi berbeza di Perairan Kuala Gula dan Tanjung Piandang di sini.

Artikel Berkaitan:

Mayat pertama iaitu warga Indonesia yang dikenali sebagai Gong Drong ditemui terapung pada jam 11.59 tengah hari Selasa di kedudukan 0.6 batu nautika di Perairan Kuala Gula.

ARTIKEL BERKAITAN: Bot terbalik: Satu mayat ditemukan, seorang lagi masih hilang