Menyamar penumpang, JPJ Pahang kesan tiga kesalahan pemandu bas

Mohammad
Mohammad
A
A
A

KUANTAN - Tiga pemandu bas dikenakan tindakan selepas dikesan menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan melanggar lampu isyarat merah hasil strategi penyamaran dijalankan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang sepanjang Ops Tahun Baharu Cina bermula 29 Januari hingga 12 Februari lalu.

Pengarahnya, Mohammad Abdullah berkata, pihaknya menempatkan anggota dalam 20 bas ke pelbagai destinasi sepanjang ops tersebut dan tiga kes dikesan melibatkan dua kesalahan tersebut.

Menurutnya, dua kes kerana menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan satu kes melanggar lampu isyarat merah.

"Sepanjang ops sama tahun lalu, tiada kes dikesan melalui strategi tersebut," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, strategi menempatkan lebih ramai anggota untuk tugas rondaan di lebuh raya dan jalan-jalan utama di negeri ini berkesan dalam mengurangkan kadar kemalangan seperti yang disasarkan.

Menurutnya, keberadaan anggota rondaan di laluan utama ini menimbulkan rasa 'takut' pengguna jalan raya untuk melakukan kesalahan sekaligus berjaya mengurangkan kadar kemalangan terutama melibatkan kemalangan maut.

"Dalam operasi ini, JPJ Pahang meningkatkan jumlah keanggotaan kepada 799 berbanding 658 anggota dalam ops sama pada 2018.

"Berdasarkan perkembangan ini, kita akan meningkatkan lebih ramai anggota pada Ops Selamat sempena hari raya Aidilfitri akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, berdasarkan laporan yang diterima, sepanjang Ops Tahun Baharu Cina 2019 ini, tiada kes kemalangan maut dilaporkan di Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) dan Lebuh Raya Kuala Lumpur- Karak (KLK).

"Perkembangan positif ini seiring dengan sasaran jabatan untuk memastikan kadar kemalangan maut di lebuh raya dikurangkan atau sifar," katanya.

Sementara itu katanya, dalam tempoh tersebut, sebanyak 8,405 kenderaan diperiksa dan ia menunjukkan peningkatan berbanding ops sama tahun lalu hanya, 4,930 kenderaan.

"Daripada jumlah itu, 1,278 kenderaan diambil tindakan melibatkan 2,018 kesalahan dikesan, tujuh kenderaan disita dan 625 lain-lain notis dikeluarkan," katanya.

Mohammad berkata, pada ops kali ini, tiada kes kenderaan klon dikesan berbanding satu kes tahun lalu.