X

Kindly register in order to view this article
!

Pengendali penerbangan digesa anjur seminar keselamatan berkala

Wee Ka Siong
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengendali Penerbangan Umum (GA) dan Penerbangan Perniagaan (BA) di Malaysia digesa mengadakan seminar dan taklimat keselamatan secara berkala agar kesedaran mengenai keselamatan dan kepatuhan terhadap peraturan menjadi budaya yang sentiasa disemai.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, justeru penganjuran Forum Keselamatan Secara Maya Malaysia selama dua hari oleh Persatuan Penerbangan Perniagaan Asia (AsBAA) adalah tepat pada masanya bagi mengingatkan semua pemain industri untuk menjadikan keselamatan sebagai perkara utama dalam operasi dan budaya korporat mereka.

“Keselamatan tidak boleh menjadi pilihan untuk menggunakan dan menikmati penerbangan persendirian,” katanya dalam ucapan perasmiannya di forum itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, berikutan nahas yang melibatkan helikopter baru-baru ini, adalah mustahak bagi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk segera menganjurkan taklimat keselamatan mendatori untuk semua pengendali helikopter tempatan, organisasi penyelenggaraan dan pengendali juruterbang helikopter di Malaysia.

“Adalah penting untuk semua pihak berkepentingan penerbangan memahami konsep budaya keselamatan dan kepentingannya untuk operasi penerbangan yang selamat dan cekap,” menurut kenyataan itu.

MOT juga berharap AsBAA dengan bekerjasama rapat dengan CAAM sebagai rakan industri, akan meneruskan khidmat yang baik sebagai platform untuk komunikasi dan aktiviti mengenai isu utama berkaitan BA dan GA untuk memastikan masyarakat sentiasa mengikuti perkara berkaitan akses lapangan terbang, peraturan, dasar, keselamatan dan pembangunan modal insan.

Disokong oleh MOT dan CAAM, forum yang disampaikan oleh pakar industri itu mengupas secara mendalam topik-topik penting berkaitan budaya keselamatan penerbangan, faktor manusia, penyiasatan kemalangan, pemantauan data penerbangan, kajian kes, latihan, operasi helikopter, pengendalian pesawat secara profesional, lapangan terbang dan operasi darat.

Forum AsBAA itu merupakan acara keselamatan pertama tahun ini bagi industri BA dan GA di Malaysia. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!