Empat lelaki ditahan proses kayu bergergaji tanpa lesen

Sebahagian kayu bergergaji spesies merbau yang dihasilkan tanpa lesen dalam hutan tanah kerajaan mukim Ulu Tembeling cuba dipindahkan menggunakan lori. - Foto ihsan PDH Jerantut
Sebahagian kayu bergergaji spesies merbau yang dihasilkan tanpa lesen dalam hutan tanah kerajaan mukim Ulu Tembeling cuba dipindahkan menggunakan lori. - Foto ihsan PDH Jerantut
A
A
A

JERANTUT - Empat lelaki ditahan oleh pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Jerantut ketika sedang menghasilkan kayu bergergaji tanpa lesen sah dalam sebuah hutan di mukim Ulu Tembeling, Jerantut, pada Selasa.

Pegawai PHD Jerantut, Mohd Zarin Ramlan berkata, kegiatan itu terbongkar selepas rondaan dilakukan di kawasan hutan tersebut dan keempat-empat individu berkenaan gagal mengemukakan permit sah daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bagi menjalankan aktiviti penghasilan kayu bergergaji.

"Pihak kita menahan empat penduduk tempatan berusia 27 hingga 58 tahun ini kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

"Kita juga berjaya mengesan enam tunggul pokok spesies merbau dipercayai ditebang empat lelaki terbabit bagi menghasilkan kayu bergergaji pelbagai saiz," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata,sebelum itu, kesemua yang ditahan memberi alasan bahawa kayu bergergaji yang dihasilkan adalah untuk kegunaan sendiri, bukan untuk dijual.

Katanya, malah mereka mendakwa terpaksa melakukan kerja itu untuk menampung perbelanjaan keluarga.

"Namun kita tidak berkompromi kerana mereka telah melakukan kesalahan di bawah akta perhutanan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zarin berkata, pihaknya menemui dua kenderaan pacuan empat roda, mesin memotong kayu berantai dan sebuah lori di kawasan hutan itu dipercayai digunakan untuk menjalankan kerja-kerja pemindahan kayu.

Artikel Berkaitan:

"Semua kenderaan dan jentera ditemui tersebut disita," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zarin memberitahu, kayu bergergaji spesies merbau mendapat permintaan tinggi untuk kegunaan membuat lantai dan dinding rumah, tiang pagar, termasuk binaan untuk kolam ternakan ikan.