Suhakam gesa kerajaan segera laksana RUU IPCC

 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan supaya menggubal Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dengan segera.

Suhakam dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menzahirkan kebimbangan susulan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini mendakwa wujudnya rasuah dan salah guna kuasa yang serius dalam kalangan pegawai polis.

“RUU ini merangkumi intipati RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 serta syor-syor Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2005.

“Justeru, dengan penubuhan badan bebas ini, ia akan terus meningkatkan rasa kebertanggungjawaban dan akauntabiliti dalam kalangan polis, selain menyediakan perlindungan daripada salah laku dan salah guna kuasa.

“Di samping itu, ia juga dapat mengembalikan keyakinan dan penghormatan rakyat kepada agensi penguatkuasaan,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Kata kenyataan itu lagi, Suhakam turut bimbang dengan kewujudan kartel di dalam PDRM yang berniat untuk menguasai pasukan polis atas kepentingan peribadi.

“Amalan tidak amanah, tidak beretika dan tidak mematuhi undang-undang akan membawa kesan negatif terhadap kebebasan asasi masyarakat Malaysia secara amnya,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Suhakam memuji keberanian KPN mendedahkan salah laku serius tersebut yang memerlukan penyiasatan segera bagi memastikan sama ada wujud kebenaran di sebalik dakwaan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya ia benar, tindakan yang tegas perlu diambil bagi menghentikan amalan sebegini dalam kalangan pasukan polis,” katanya.

Sehubungan itu, Suhakam berkata, proses semakan oleh mekanisme pengawasan bebas dan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang telus dan bebas daripada penglibatan politik amat penting bagi memerangi isu rasuah dan salah guna kuasa dalam pasukan polis.

Pada 18 Mac lalu, Abdul Hamid mendedahkan wujudnya gerakan dalaman daripada kalangan pegawai muda dalam PDRM yang bercita-cita untuk menjatuhkan beliau.

Katanya, gerakan tersebut juga merupakan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: [EKSKLUSIF] 'Kartel dalam PDRM cuba jatuhkan saya'

Individu terlibat kuasai kartel PDRM dikenal pasti: KPN