X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 01 Disember 2021

Tujuh ahli Geng Langau diberkas

Soffian (duduk) menunjukkan rangka motosikal yang ditemui di Sungai Sedim, Kulim.
A
A

GEORGETOWN - Tujuh lelaki dari Geng Langau yang aktif mencuri motosikal sekitar negeri ini dan Kedah ditahan selepas polis menyerbu dua buah rumah di Labu Besar, Kulim pada jam 12.30 malam, 25 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, bertindak dari maklumat dan risikan, polis berjaya menahan kesemua suspek berusia lingkungan 18 hingga 34 tahun itu.

Menurutnya, semua suspek menggunakan kedua-dua rumah kampung itu untuk meleraikan komponen motosikal yang dicuri sebelum menjualnya kepada pembeli.

"Rumah tersebut adalah milik keluarga kepada seorang suspek yang ditahan. Keluarga suspek tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka kumpulan tersebut hanya membaiki motosikal di kedua-dua kediaman itu.

"Dalam operasi itu, polis juga merampas tiga buah motosikal dipercayai dicuri, peralatan mencuri motosikal dan komponen motosikal yang sudah dileraikan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pada Rabu.

Soffian menunjukkan motosikal yang berjaya ditemui selepas dicuri Geng Langau.
Soffian menunjukkan motosikal yang berjaya ditemui selepas dicuri Geng Langau.

Beliau berkata, hasil soal siasat, kumpulan itu mendedahkan lokasi rangka motosikal curi yang dibuang ke dalam Sungai Sedim, Kedah untuk dilupuskan.

"Kita terpaksa menggunakan khidmat Pasukan Polis Marin untuk mencari rangka yang dibuang di lokasi ditunjukkan. Hasilnya, kita berjaya menemui 25 rangka motosikal di sungai tersebut.

"Kita percaya, semua rangka motosikal tersebut adalah yang dicuri sekitar daerah Timur Laut, Seberang Jaya serta Kulim dan Sungai Petani, Kedah," katanya.

Menurutnya, geng itu aktif sejak 2016 dan mempunyai pelanggan tetap yang akan menghubungi mereka untuk membeli komponen motosikal dengan harga lebih murah dari pasaran.

"Mereka mencuri motosikal pelbagai jenis bergantung kepada permintaan pelanggan. Salah sebuah motosikal yang dicuri dan berjaya ditemui semula merupakan milik anggota polis yang tinggal di perumahan polis di Air Itam.

"Kita masih lagi mengesan saki baki sindiket ini termasuk empat Geng Langau yang masih bebas," katanya.

Soffian berkata, ketua geng itu yang berusia 25 tahun mempunyai 17 rekod lampau melibatkan jenayah.

"Selain ketua geng, empat daripada tujuh ahli Geng Langau turut mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah. Tiga daripada mereka positif dadah.

"Kesemua suspek direman sehingga hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Soffian berkata, polis menahan lima individu termasuk seorang wanita dan pekerja kedai barang lusuh berhubung kes kecurian kabel dengan nilai kerugian kira-kira RM6,000.

"Kesemua yang ditahan berusia antara 30 hingga 50 tahun. Mereka ditahan dalam tiga serbuan di sekitar daerah ini antara jam 2 petang hingga 10 malam pada 23 dan 25 Mac lalu.

Kabel yang dirampas dari lima suspek curi kabel yang ditahan pada 23 dan 25 Mac lalu.
Kabel yang dirampas dari lima suspek curi kabel yang ditahan pada 23 dan 25 Mac lalu.

"Walaupun nilai kerugian dalam kes curi kabel ini tidak besar iaitu RM6,000, namun ia menjejaskan dan memberi kesan kepada ekonomi pihak terlibat. Oleh itu, saya menasihatkan pengusaha kedai barang lusuh supaya berhati-hati sekiranya ditawarkan membeli kabel oleh mana-mana pihak," katanya.

Tambah beliau, kesemua lelaki yang ditahan mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah namun negatif dadah.

"Mereka mencuri dan menjual kabel ini untuk mendapatkan wang bagi menampung keperluan harian selain membeli dadah. Susulan penahanan suspek, kita berjaya menyelesaikan empat kes curi kabel, tetapi kita sedang menyemak sama ada suspek ada terlibat dengan kes lain atau tidak.

"Kesemua suspek direman sehingga 2 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Soffian berkata, sebanyak 25 kes curi kabel dilaporkan pada tahun lalu melibatkan kerugian RM600,000.

"Daripada 25 kes dilaporkan, 10 kes berjaya diselesaikan dengan anggaran kerugian RM150,000.

"Bagi tahun ini sehingga Mac, kita menerima enam laporan melibatkan kes curi kabel dengan kerugian sebanyak RM270,000," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!