X

Kindly register in order to view this article
!

Rogol anak: Mahkamah kekal hukuman penjara 18 tahun

Tertuduh keluar dari kamar mahkamah selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengekalkan hukuman ke atasnya pada Rabu.
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu mengekalkan hukuman penjara 18 tahun dan enam sebatan ke atas seorang bapa yang didapati bersalah merogol anak kandungnya berusia lapan tahun pada tahun 2017.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas menolak rayuan tertuduh berusia 58 tahun yang merupakan seorang pemotong rumput terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada Februari tahun lalu.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan bapa kepada enam orang anak itu yang diwakili peguam GK Sritharan dan P Rajagunaseelann untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Dalam penghakimannya, Abu Bakar berkata, Mahkamah Seksyen secara betul di akhir kes pembelaan memutuskan perayu bersalah dan disabitkan atas pertuduhan.

"Berkaitan hukuman, Mahkamah Sesyen telah menimbangkan segala prinsip-prinsip penghukuman secara tertib. Mahkamah Tinggi berpendapat hukuman yang dijatuhi ke atas perayu tidak berlebihan. Hukuman ke atas perayu disahkan dan dikekalkan," katanya.

Mahkamah turut memerintahkan agar jaminan ke atas tertuduh dikekalkan selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 hari bulan sehingga rayuan di Mahkamah Rayuan diputuskan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Johor, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali.

Pada 20 Februari 2020, Mahkamah Sesyen menjatuhi hukuman 18 tahun penjara dan enam kali sebatan terhadap tertuduh selepas mendapati tertuduh bersalah merogol anak kandungnya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan anak kandungnya berusia lapan tahun di Kangkar, Pulai, Johor Bahru pada 4 hingga 7 Mei 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.