DeBoer sifatkan Gibraltar anti bola sepak

Frank De Boer
Frank De Boer
A
A
A

PENGENDALI Belanda, Frank de Boer menyifatkan Gibraltar sebagai pasukan yang ‘anti bola sepak,’ setelah menyaksikan skuad kendaliannya itu mencatatkan kemenangan 7-0 pada Kelayakan Piala Dunia awal pagi Rabu lalu.

De Boer berkata, dia tidak berpuas hati dengan perlawanan berkenaan kerana Gibraltar disifatkan tidak beraksi dengan bersungguh-sungguh.

Malah menurutnya, Gibraltar juga dilihat tidak melakukan walaupun satu percubaan ke pintu gol Belanda pada perlawanan berkenaan.

“Saya sangat berpuas hati dengan kejayaan kami menjaringkan tujuh gol pada perlawanan ini, tetapi lawan (Gibraltar) telah mempamerkan aksi seolah-olah anti bola sepak.

“Kesemua pemain akan terjatuh walaupun dengan hanya satu ‘sentuhan', dan kesemua pemain di bangku simpanan bangun melakukan protes kepada pengadil perlawanan.

Sebahagian pemain Belanda selepas perlawanan berkenaan.
Sebahagian pemain Belanda selepas perlawanan berkenaan.

“Penjaga gol juga mengambil masa selama seminit untuk membuat sepakan gol. Saya muak dengan semua ini, namun gembira kerana kita akhirnya menang perlawanan ini,” katanya.

Steven Berghuis menjaringkan gol pertama Oranje pada minit ke-41, Luuk de Jong (min-55), Memphis Depay (min-61, 88), Georginio Wijnaldum (min-62), Donyell Malen (min-64) dan Donny van de Beek (min-85).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, De Boer berkata, Belanda mungkin kehilangan khidmat pertahanan Daley Blind untuk perlawanan akan datang.

“Saya tidak tahu sejauh mana tahap kecederaan yang dialaminya. Ia bukan kecederaan lutut, tetapi mungkin di bahagian buku lali.

“Sekiranya serius, kami mungkin terpaksa mencari pengganti bagi mengisi slot yang ditinggalkannya nanti,” katanya.