Bekas koperal bunuh anak tiri ke tali gantung

Seorang bekas koperal dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas tuduhan membunuh anak tirinya berusia dua tahun pada 2015.
Seorang bekas koperal dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas tuduhan membunuh anak tirinya berusia dua tahun pada 2015.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas koperal polis dilihat tenang selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menjatuhkan hukuman gantung sampai mati atas tuduhan membunuh anak tirinya berusia dua tahun pada 2015.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Khairuanuar Baharuddin, 39, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan.

“Selepas meneliti dan mengkaji keseluruhan keterangan dalam kes ini, mahkamah mendapati bahawa pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

"Mahkamah mendapati kesemua keterangan mengikut keadaan dalam kes ini menjurus kepada kesimpulan tertuduh membunuh si mati. Oleh itu, mahkamah mensabitkan tertuduh di bawah Seksyen 302,” katanya.

Sejurus selepas tamat prosiding, dua individu dipercayai ahli keluarga dilihat menangis sambil ditenangkan oleh tertuduh.

Dalam kes ini, seramai 15 saksi pendakwaan dan satu saksi pembelaan dikemukakan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, manakala tertuduh diwakili peguam, Fahri Azzat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Hanis Amanda Mohd Zafil yang berusia dua tahun (pada hari kejadian) di sebuah kondominium di Seksyen 5, Wangsa Maju di sini pada jam 7 pagi hingga 7.30 malam, 6 November 2015.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Sepanjang perbicaraan berlangsung, seramai 15 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri dipanggil memberi keterangan.

Kes menyayat hati itu dilaporkan media pada November 2015 yang membawa kepada pembukaan akaun Facebook atas nama Keadilan Untuk Amanda.

Kisah itu kembali tular dan mendapat perhatian netizen dua tahun kemudian setelah status menuntut keadilan kanak-kanak itu dimuat naik di akaun tersebut.