Tanam ganja dalam tandas

Soffian (kiri) bersama pegawainya menunjukkan gambar pokok ganja yang dirampas dari rumah suspek.
Soffian (kiri) bersama pegawainya menunjukkan gambar pokok ganja yang dirampas dari rumah suspek.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki ditahan bersama tiga batang pokok ganja berusia lima bulan di sebuah rumah teres di Pulau Tikus di sini pada jam 12.10 tengah hari, 24 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketiga-tiga pokok itu ditemui hidup subur dalam pasu plastik di tandas rumah sewa lelaki itu.

Menurutnya, siasatan mendapati, lelaki berusia 26 tahun itu mengakui hanya cuba menanam pokok ganja itu selepas terjumpa dalam paket ganja kering yang dibelinya sebelum ini.

"Suspek mengakui terjumpa biji ganja dalam dadah yang dibeli dan cuba menanamnya. Menurutnya, dia menanam empat batang pokok namun hanya tiga yang subur manakala sebatang lagi mati.

"Pasu itu diletakkan di dalam tandas rumah kerana di situ terdapat pencahayaan dan pengudaraan yang baik," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pada Rabu.

Soffian berkata, ketiga-tiga pokok ganja tersebut dianggarkan bernilai RM2,660.

"Ketiga-tiga pokok itu masing-masing setinggi antara 39 hingga 48 sentimeter. Kita turut merampas pelbagai dadah lain iaitu 28.5 gram (g) heroin, 30.38g syabu dan 13.63g ganja di ruang meja makan di rumah suspek.

"Turut dirampas sebuah motosikal dan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM10,290. Ujian saringan air kencing suspek positif methamphetamine dan tiada rekod jenayah lampau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, polis memandang serius kes tersebut kerana suspek berjaya menanam pokok ganja yang subur.

"Jika tidak dibendung, kita bimbang suspek akan menanam lebih banyak lagi pokok itu di rumahnya. Pokok ganja tersebut jika diproses boleh membekalkan kepada 320 penagih dadah.

"Bagaimanapun, pokok tersebut untuk kegunaan sendiri dan suspek yang belum berkahwin itu tinggal seorang diri," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6B, Seksyen 39B, Seksyen 39A(2) dan Seksyen 6 di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.