'Pemilihan UMNO sebelum PRU15 mungkin jejaskan parti'

Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

PARIT - Pemilihan UMNO yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibimbangi akan menjejaskan solidariti dalam kalangan ahli parti.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, keputusan pemilihan parti itu juga boleh memberi kesan kepada UMNO dalam menghadapi PRU15.

Bagaimanapun, menurutnya, Majlis Tertinggi UMNO berhak menentukan sama ada pemilihan perlu disegerakan pada tahun ini atau ditangguhkan.

Saarani (kanan) ketika program Moh Mengopi Bersama MB di Kampung Selat, Layang-Layang Kiri pada Rabu.
Saarani (kanan) ketika program Moh Mengopi Bersama MB di Kampung Selat, Layang-Layang Kiri pada Rabu.

"Pengalaman dahulu, biasanya selepas pemilihan, sedikit sebanyak kesan pemilihan itu ada kerana orang yang kalah barangkali merajuk. Itu memberi kesan kepada solidariti parti.

"Kalau pemilihan UMNO dibuat selepas pilihan raya, jadi bermakna situasi mungkin berbeza kerana kalau nak diambil kira calon-calon pilihan raya mungkin akan datang daripada pemegang jawatan sekarang. Tetapi jika sebelum pilihan raya, calon-calon mungkin datang dalam kalangan pemimpin baharu," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Program Moh Mengopi Bersama MB di Kampung Selat, Layang-Layang Kiri, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang meminta agar pemilihan UMNO pada tahun ini disegerakan.

ARTIKEL BERKAITAN: KJ gesa segerakan pemilihan UMNO, selesai kemelut dalaman parti

Artikel Berkaitan:

Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, menyegerakan pemilihan bukan isu besar kerana Perlembagaan UMNO membenarkan Majlis Tertinggi menangguhkan pemilihan sehingga 18 bulan walaupun ia perlu diadakan setiap tiga tahun.

"Harus diingat kita kena buat keputusan berasaskan kepada keputusan Majlis Tertinggi UMNO sebab dalam perlembagaan sebut keputusan parti yang paling tinggi dibuat oleh Persidangan Agung UMNO (PAU). Tetapi sebab PAU ini bersidang setahun sekali saja, dalam ketiadaan PAU, maka Majlis Tertinggi adalah badan yang paling tinggi untuk membuat dasar.

"Jadi kerana itu sama ada YB Khairy Jamaluddin, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Najib Tun Razak atau sesiapa nak bagi pandangan 'its ok', tapi keputusan mesti datang daripada Majlis Tertinggi parti," katanya.

Dalam pada itu, Saarani menjelaskan, UMNO Perak akan menuruti segala keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi parti berhubung isu berkenaan.