Bekas jururawat rugi RM10,800 terjerat penipuan love scam

Mangsa yang berusia 54 tahun mengalami kerugian RM10,800 selepas diperdaya dengan Love Scam. (Gambar kecil: Chang Hook)
Mangsa yang berusia 54 tahun mengalami kerugian RM10,800 selepas diperdaya dengan Love Scam. (Gambar kecil: Chang Hook)
A
A
A

JEMPOL - Seorang wanita yang juga pesara kerajaan mengalami kerugian RM10,800 selepas diperdaya dengan Love Scam.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian itu bermula apabila bekas jururawat berusia 54 tahun berkenalan dengan seorang lelaki menerusi Facebook mendakwa dari Poland pada Disember tahun lalu.

Menurutnya, lanjutan perhubungan itu, mangsa dengan lelaki yang dikenali sebagai Mohamed Ibrahim akhirnya menjadi pasangan kekasih walaupun tidak pernah bertemu.

"Percaya dengan hubungan yang terjalin itu mangsa dijanjikan akan menerima pelbagai hadiah seperti beg tangan, kasut, baju, barang kemas dan duit sebagai tanda persahabatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Chang Hook berkata, lelaki itu kemudiannya mendakwa membuat penghantaran barangan tersebut namun gagal melepasi pemeriksaan pihak berkuasa.

"Mangsa seterusnya dihubungi oleh ejen bagi menyelesaikan penghantaran barang yang tersekat dengan melakukan bayaran bagi perkhidmatan tersebut.

"Wanita itu kemudiannya melakukan transaksi berjumlah RM10,800. Bagaimanapun mangsa menyedari ditipu selepas dihubungi kali kedua untuk melakukan pembayaran.

"Mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Bahau pada Selasa dan kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Chang Hook turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan hubungan yang terjalin secara maya selain dijanjikan dengan pemberian barangan mewah.

"Polis juga menasihatkan orang ramai sentiasa peka terhadap maklumat berkaitan jenayah kolar putih yang kerap berlaku ketika ini, "katanya.

Chang Hook berkata, orang ramai boleh membuat semakan https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan selain mengikuti perkembangan terkini di Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Negeri Sembilan.