Amaran angin kencang, laut bergelora

Ombak kuat dan angin kencang menyukarkan nelayan untuk mencari rezeki.
Ombak kuat dan angin kencang menyukarkan nelayan untuk mencari rezeki.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengingatkan mengelakkan sebarang aktiviti pantai dan laut berikutan amaran angin kencang dan laut bergelora di perairan utara Semenanjung bermula Rabu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, pihaknya mula menaikkan bendera merah sebagai tanda amaran selain hebahan kepada pengunjung supaya menjauhi kawasan berkenaan.

Menurutnya, angin kencang dan laut bergelora di daerah Kuala Muda, Kedah dijangka berlaku berikutan peralihan monsun bermula Rabu hingga Sabtu dan keadaan itu berbahaya bagi semua aktiviti pantai dan perkapalan

"Angin kencang dari arah barat daya dijangka berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi antara 3.5 meter sehingga 4.5 meter diramal berlaku mulai Rabu sehingga 3 April," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau turut menasihati semua pihak terutama bot nelayan di tengah laut atau pemancing supaya berhati-hati dan menjauhi tempat berisiko serta tidak melakukan aktiviti beriadah di tepi pantai dan laut pada ketika ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Orang ramai perlu mematuhi arahan amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) disebabkan sekarang berlaku peralihan monsun," katanya.

Menurut Azahar, kawasan di utara akan mengalami kelembapan dari biasa dan dijangka berlaku hujan serta ribut petir.

Disebabkan itu, katanya, Pasukan Penyelamat Pantai Merdeka Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda sedang bersiap siaga mengambil langkah keselamatan dengan membuat hebahan kepada pengunjung pantai di mana bendera merah akan dinaikkan menandakan keadaan tidak selamat untuk menjalankan sebarang aktiviti.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bendera merah akan dinaikkan pada Rabu, 31 Mac 2021 hingga 3 April 2021 sebagai tanda amaran.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Negeri Kedah telah pun mengeluarkan amaran tentang angin kencang dan laut bergelora yang diramalkan berlaku di perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.