X

Kindly register in order to view this article
!

Persekutuan perlu hormati bidang kuasa negeri: Ahmad Marzuk

Ahmad Marzuk Shaary
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan perlu menghormati bidang kuasa negeri dalam hal ehwal agama Islam, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata, ia susulan ada pihak yang menyampaikan pandangan agar undang-undang berkaitan dengan agama digubal sahaja dan memaksa negeri untuk menerimanya.

“Selalu orang sampaikan pandangan mereka pada saya, agar kami gubal sahaja undang-undang yang berkaitan dengan agama dan ‘paksa’ negeri untuk terima, tak perlu sampai nak runding-runding.

“Katanya, lebih mudah untuk kerajaan Persekutuan kerana kita tidak perlu berunding dengan negeri-negeri dan tidak timbul kemudiannya isu undang-undang yang berbeza antara setiap negeri,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook beliau pada malam Selasa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa bagaimanapun menjelaskan perkara tersebut tidak boleh dibuat kerana kerajaan Persekutuan perlu menghormati bidang kuasa negeri sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita perlu ingat bahawa kuasa yang ada pada kerajaan Persekutuan hari ini datang daripada kuasa yang diserahkan oleh Raja-raja Melayu ketika proses rundingan pembentukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berjaya ditubuhkan hanya apabila semua pihak yang terlibat dalam rundingan bersetuju antaranya Islam adalah urusan negeri-negeri.

Berikutan itu, katanya, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang merupakan inti pati perjanjian antara Persekutuan dan negeri dalam hal berkaitan agama Islam perlu dipatuhi dan dihormati oleh semua pihak.

“Hal ini termasuklah dalam perkara yang berkaitan dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan Persekutuan juga mempunyai peranannya yang tersendiri dalam memperkasakan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Atas dasar inilah kita akan terus mencari ruang untuk mengharmonikan peranan dan bidang kuasa antara Persekutuan dan negeri dalam hal ehwal Islam.

“Proses penyeragaman juga kita cuba usahakan melalui jalan yang dipersetujui kedua-dua pihak, sebenarnya banyak yang sudah kita capai dengan cara yang harmoni. Alhamdulillah.

“Jika ada kesempatan, mungkin saya boleh kongsikan mengenai kejayaan dan usaha berterusan yang kita telah lakukan dalam mengurangkan ketidakseragaman undang-undang Syariah,” kata beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!