Pelajar kumpulan terakhir MJHEP dirai

Abd Latiff menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar sempena majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Abd Latiff menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar sempena majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 59 pelajar Malaysia Japan Higher Education Program (MJHEP) diraikan dalam Majlis Hi-Tea Apresiasi dan Pra-Graduasi 2021 di salah sebuah hotel di sini pada Selasa.

Pelajar berkenaan merupakan kumpulan kelapan yang mendapat penajaan biasiswa penuh oleh kerajaan Malaysia kepada pelajar bumiputera bagi melanjutkan pengajian ke Jepun.

Selain pelajar, majlis itu turut meraikan kakitangan MJHEP yang telah banyak menyumbang jasa dan bakti dalam memastikan pendidikan akademik serta pentadbiran organisasi itu dilaksanakan sebaiknya setaraf dengan kualiti keperluan standard universiti di negara matahari terbit itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, program yang diperkenal pada tahun 1993 itu dibuat selari dengan pelaksanaan Dasar Pandang ke Timur.

“Saya berbangga dengan kejayaan yang ditunjukkan oleh semua pelajar yang mengikuti program ini.

“Jadi, saya berharap agar pelajar kumpulan kelapan dan terakhir ini yang dijangka menamatkan pengajian di Jepun pada tahun 2023 dapat memberikan kejayaan yang sama,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Hadir sama dalam meraikan pelajar yang memperoleh biasiswa penuh menerusi agensi pelaksana iaitu Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di bawah program Japanese Associate Degree (JAD) dan MJHEP itu ialah Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azizah Mohd Dun serta beberapa pegawai tertinggi lain.

Dalam pada itu, Abd Latiff turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Projek Tahun Akhir untuk tiga kategori dan Pemenang Anugerah Pelajar Terbaik bagi empat kategori.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin ketika ditemui berkata, sehingga kini MJHEP telah berjaya melahirkan seramai 1,850 graduan sejak program itu diperkenalkan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 97 peratus pelajar lulusan program berkenaan telah bekerja dalam bidang kejuruteraan seperti jurutera, pensyarah, penyelidik, manakala tiga peratus lagi dalam bidang lain.

“Salah seorang graduan hasil daripada program ini adalah Profesor Dr Ir Khairul Salleh Mohamad Sabri yang kini menjawat jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) di Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya.

Sepanjang tempoh pelaksanaan program MJHEP itu, pelajar akan mengikuti pengajian tiga tahun di Malaysia (diploma) dan dua tahun lagi (ijazah) di Jepun.