10 kelab muaythai sahut cabaran Kejohanan AMG Challenge

Kejohanan AMG Challenge 2021 yang dianjurkan secara dalam talian pada 3 April depan bakal menjanjikan saingan sengit.
Kejohanan AMG Challenge 2021 yang dianjurkan secara dalam talian pada 3 April depan bakal menjanjikan saingan sengit.
A
A
A

ATLET muaythai dalam kalangan 10 kelab akan menyahut cabaran Kejohanan AMG Challenge 2021 yang dianjurkan secara dalam talian pada 3 April depan.

Presiden Kelab Muaythai Ara, Ikmal Zainal berkata, inisiatif menganjurkan sukan yang mempunyai ramai pengikut dalam dan luar negara tersebut bagi menyemarakkan arena sukan itu dalam era norma baharu.

Ikmal Zainal
Ikmal Zainal

“Kelab Muaythai Ara buat julung kali menganjurkan Kejohanan AMG Challenge yang akan disiarkan secara dalam talian demi mengubati kerinduan atlet dan peminat muaythai di seluruh negara dalam situasi perintah kawalan pergerakan.

“Peserta yang bertanding terdiri dalam kalangan atlet hebat muaythai dari 10 kelab muaythai iaitu Red Wolves Muaythai, Jordan Top Team, Singa Malaya, Warisan Muaythai, Sharks Muaythai, MFCK, Malaya Boxing, Hallo Fight Lab, dan juga wakil dari Kelab Muaythai Ara sendiri.

“Jadi kepada semua peminat muaythai dan sukan bela diri tempatan jangan lupa untuk mengikuti Kejohanan AMG Challenge 2021 pada Sabtu ini jam 8 malam secara langsung di Facebook dan saluran Youtube Ara Fight Promotion,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Ikmal berkata, peluang penganjuran AMG Challenge ini pastinya unik kerana pertama kalinya berlangsung secara hybrid di lapangan dan juga secara siaran langsung dalam talian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ini dapat direalisasikan dengan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ketat berikutan kebenaran penganjuran kejohanan sukan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini.

“Namun disebabkan keperluan memutuskan rantaian Covid-19 dengan kekangan rentas negeri dan had jumlah penyertaan demi mematuhi SOP PKP ditetapkan, kejohanan kali ini disertai atlet dari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sahaja, namun mendapat sambutan amat memberangsangkan.

“Ramai dalam kalangan atlet tidak sabar untuk bertanding memandangkan ini adalah kejohanan yang dianjurkan buat pertama kalinya sejak lebih setahun tidak beraksi dalam perlawanan muaythai,” katanya.