X

Kindly register in order to view this article
!

Pengerusi-pengerusi GLC UMNO patut letak jawatan dahulu

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Perasmian Persidangan Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Ahad. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Lebih 13 orang ahli Parlimen UMNO yang kini menjadi pengerusi pelbagai syarikat milik kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan dicadangkan meletakkan jawatan terlebih dahulu susulan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) untuk menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada bila-bila masa.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, menteri dan timbalan menteri UMNO mungkin hanya akan menarik sokongan Ogos nanti bagi memastikan kestabilan negara pada waktu darurat.

Bagaimanapun katanya, lebih 13 ahli Parlimen UMNO yang menjadi pengerusi GLC boleh meletakkan jawatan segera untuk membuktikan komitmen pemimpin tersebut terhadap keputusan PAU2020 pada Sabtu dan Ahad lalu.

Katanya, selepas dua hari para pemimpin UMNO menjadikan PAU2020 sebagai medan untuk menghentam dan menolak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah wajar 13 pengerusi GLC tersebut mengikut jejak berani Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia Januari lalu.

Beliau berkata, sebagai prinsip dan maruah yang secara terang-terangan mahu memutuskan hubungan, maka mereka perlu membuat tindakan berani.

“Setakat ini ramai antara pemimpin yang masih tidak berani melepaskan jawatan sebagai pengerusi GLC dan mungkin mereka takut untuk bertindak kerana tidak mahu kehilangan jawatan. Jika letak jawatan mereka tidak lagi akan berkuasa.

“Perkara ini perlulah diberi perhatian serius dan sebagai parti bermaruah saranan di PAU2020 perlu disahut dengan tindakan yang tidak berbelah bahagi demi untuk masa depan parti berkenaan,” katanya mengulas mengenai perkembangan politik negara selepas PAU2020 yang berakhir Ahad lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri, timbalan menteri UMNO perlu tarik diri hari ini

Zahid cabar seorang menteri UMNO letak jawatan

‘Sila bagi tarikh untuk letak jawatan’

Pada petang Isnin, khabar angin bertiup kencang kononnya menteri dan timbalan menteri UMNO berjumpa dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan dalam Kabinet selepas UMNO memuktamadkan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, ramalan tersebut tidak berlaku apabila menteri dan timbalan menteri UMNO kekal dalam kerajaan dan dikhabarkan hanya akan menarik diri pada Ogos.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebelum ini berkata, dia tidak mempunyai apa-apa masalah untuk melepaskan jawatan dalam GLC apabila tiba waktunya.

“Mesti (bersedia letak jawatan)! Tak ada masalah. Apa masalah jawatan tu?

“Perjuangan UMNO, perjuangan parti lebih besar. Perjuangan bukan boleh dijual beli,” kata Pengerusi Prasarana itu pada Ahad.

INFO

ANTARA AHLI PARLIMEN UMNO YANG JADI PENGERUSI GLC

- Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias – Pengerusi UDA Holding

- Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor – Pengerusi Amanah Raya Berhad

- Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid – Pengerusi TNB

- Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajudin Abd Rahman – Pengerusi Kumpulan Prasarana

- Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif – Pengerusi RISDA

- Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris – Pengerusi Lembaga Getah Malaysia

- Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin – Pengerusi Boustead Holding Berhad

- Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin – Pengerusi MyIPO

- Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh - Pengerusi Felda

- Ahli Parlimen Tanjong Karang - Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd

- Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria - Pengerusi LPPKN

- Ahli Parlimau Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim - Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!