Penambahbaikan sistem pilihan raya

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

UNDANG-UNDANG pilihan raya di Malaysia bermula dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang telah digubal oleh British untuk digunakan dalam Pilihan Raya Legislative Council yang pertama kali diadakan dalam tahun 1955.

Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957, Akta Pilihan Raya 1958 dan Peraturan-peraturan berkaitan pilihan raya kemudiannya disediakan masih dengan bantuan pihak British bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) pertama selepas merdeka dalam tahun 1959.

Sehingga hari ini, Malaysia telah melalui 14 PRU dengan jayanya dengan mengguna pakai undang-undang serta peraturan yang tidak banyak berubah sejak merdeka.

Walaupun terdapat beberapa pindaan ke atas undang-undang, secara dasarnya, perkara asas seperti sistem pilihan raya, pengurusan persempadanan bahagian pilihan raya, prosedur perjalanan pilihan raya, peraturan berkempen, penamaan calon, cara pengundian dan pengiraan kertas undi dan urusan berkaitan pengundi tidak hadir, masih tidak banyak berubah.

Bagi memastikan kesesuaian sesuatu polisi, kerajaan mengkaji polisi-polisi tersebut dari masa ke masa. Pada Jun 1965, Suruhanjaya Siasatan Diraja ke Atas Perjalanan Kerajaan Tempatan telah menjalankan kajian dan antara cadangan suruhanjaya tersebut adalah untuk menggantung peruntukan undang-undang berkaitan pilihan raya kerajaan tempatan di seluruh negara.

Hasil cadangan tersebut, Parlimen telah meluluskan beberapa undang-undang baharu yang melibatkan pentadbiran kerajaan tempatan termasuk Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memansuhkan pilihan raya kerajaan tempatan.

Pada tahun 2015, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik. Hasil cadangan jawatankuasa tersebut, satu draf Rang Undang-Undang Derma Politik 2019 telah dikemukakan untuk diperhalusi oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Pertimbangan Rang Undang-undang.

Akibat daripada pertukaran kedudukan ahli-ahli Parlimen pada Mac 2020, sehingga hari ini rang undang-undang tersebut masih belum dibentangkan.

Artikel Berkaitan:

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) yang ditubuhkan pada Ogos 2020 adalah suatu lagi contoh tindakan proaktif kerajaan untuk mengkaji keberkesanan dan kesesuaian sistem dan undang-undang pilihan raya di Malaysia ketika ini.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, mantan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberi mandat yang besar untuk mengkaji hampir keseluruhan sistem dan undang-undang pilihan raya di Malaysia.

Kajian

Selepas menjalankan kajian, ERC mengemukakan 49 cadangan yang merangkumi beberapa teras utama iaitu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem pengurusan pilihan raya; mewujudkan gelanggang pilihan raya yang adil; memudahkan rakyat mengundi dan memantapkan sistem dan proses pilihan raya.

Antara cadangan tersebut termasuklah mekanisme bagi mengatasi isu lompat parti dan undang-undang berkaitan dana politik.

Perubahan dalam undang-undang pilihan raya akan mengubah landskap politik dan ahli politik juga harus berubah bagi memenuhi rentak dan nada baharu sekiranya mereka bersetuju untuk pembaharuan.

Namun, soalan utama yang sering timbul dalam usaha penambahbaikan pilihan raya adalah, sejauh manakah ahli-ahli politik akan bersetuju untuk meminda sistem dan proses yang telah membawa mereka ke Parlimen? Sejauh manakah iltizam politik dalam kalangan ahli-ahli politik di negara ini.

Pada 2019, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dengan persetujuan hampir kesemua ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik untuk membolehkan umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun.

Saya percaya perkara sama boleh berlaku apabila ahli-ahli Parlimen meletakkan kepentingan dan kemahuan pengundi di tahap yang lebih tinggi daripada kepentingan parti politik masing-masing.

*Amerul Muner Mohammad ialah mantan CEO Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya