X

Kindly register in order to view this article
!

Yang bingit dalam kesunyian

A
A

APABILA kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, rakyat terkurung di rumah. Hiburan rekreasi yang ada hanyalah menonton televisyen, mendengar radio dan menghadap komputer.

Kebosanan mudah melanda apabila dalam keadaan terkurung. Golongan peminat buku juga tidak terkecuali. Membaca adalah suatu tabiat.

Apabila tidak boleh ke perpustakaan atau ke toko-toko buku, mereka mendapatkannya melalui carian di internet. Ramai yang meminjam buku digital dari Perpustakaan Negara Malaysia. Peningkatan ini amat luar biasa.

Menurut Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Rangkaian Sistem Perpustakaan PNM, Aidatul Hasnida Abdul Rani, hampir 40,000 buku digital dipinjam pada Mac 2020, berbanding purata kira-kira 15,000 pada bulan biasa. Pendaftaran keahlian baharu iaitu pada bulan pertama PKP mencecah 22,982 ahli.

Kedai-kedai yang mempunyai laman web mendapati jualan buku-buku secara online telah meningkat secara mendadak. Syarikat Xentral Methods, entiti yang mengendalikan e-Sentral.com iaitu syarikat e-buku terbesar di Malaysia mendapati jualan e-bukunya meningkat tiga kali ganda sejak PKP bermula.

Syarikat gergasi Big Bad Wolf yang mengadakan jualan buku secara maya pada November 2020 mendapati lamannya crash beberapa kali berikutan sambutan luar biasa peminat buku.

Faktor perkhidmatan penghantaran yang semakin canggih menjadikan pembaca buku tidak kekok untuk memesan buku secara online.

Perkhidmatan penghantaran bungkusan seperti J & T Express, ABX Express serta GDex yang bersaing dengan PosLaju dengan harga yang lebih murah, membantu meningkatkan transaksi pembelian.

Satu lagi faktor yang merangsang tabiat membeli secara online ini disumbangkan oleh pasar digital; yang paling terkenal ialah Shopee. Sebagai sebuah pasaraya maya, Shopee menawarkan platform yang amat sesuai untuk pembelian termasuk buku.

Platform membeli-belah ini lebih menepati kehendak peminat buku. Jika selama ini mereka ke laman-laman web yang berbeza untuk mendapatkan buku-buku daripada penerbit yang berbeza, kini mereka hanya perlu ke Shopee dan semua buku terhimpun di situ.

Normal baharu peminat buku membeli secara online ini umpama bulan jatuh ke riba buat penjual buku khususnya penjual buku kecil. Mereka tidak perlu lagi memancing pembeli begitu lama melalui Facebook mahupun Instagram kerana bukan semua orang ke media sosial itu untuk membeli-belah. Mereka temui jalan pintasnya di Shopee.

Fenomena dropshipping iaitu ejen-ejen jualan yang selama ini berkembang pesat di sektor kosmetik telah tempias ke pelbagai bidang bisnes termasuk perniagaan buku.

Semakin ramai individu memperoleh pendapatan melalui cara dropshipping ini. Banyak kumpulan sokongan seperti Hack-A-Launch yang mengadakan kelas untuk mengajar teknik melariskan produk amat membantu sesiapa sahaja termasuk penjual buku.

Suasana ini melahirkan satu lagi golongan pembaca iaitu mereka yang mendapatkan buku kerana ingin mendapatkan buku tulisan personaliti yang mereka gemari. Buku-buku tokoh agama, motivasi bisnes, pemasaran dan selebriti kini menjadi rebutan.

Buku akan tetap laris, pembacanya tetap ada. Hanya mereka yang meminatinya akan mengalami hiruk-pikuk dunianya. Cuma, masih ramai peminat buku yang menyimpan nostalgia dengan tabiat berkunjung ke kedai buku untuk menghayati suasana di kelilingi ribuan buku, dalam suasana yang sepi sambil menghidu bau buku yang ditatap.

Buktinya, ratusan peminat buku beratur panjang sebelum dibenar masuk ke gedung buku Kinokuniya, KLCC, Kuala Lumpur apabila ia dibuka kembali pada Februari lalu.

Faktor perkhidmatan penghantaran yang semakin canggih menjadikan pembaca buku tidak kekok untuk memesan buku secara online.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!