Kerja alih, sambung paip baharu siap sepenuhnya

Kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam siap dilaksanakan.
Kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam siap dilaksanakan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam siap dilaksanakan pada jam 11.30 malam Selasa.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi satu kenyataan di Facebook pada Selasa berkata, berlaku kelewatan selama dua jam setengah berbanding tempoh yang dijadualkan pada jam 9 malam Selasa.

Menurut kenyataan itu, kelewatan itu tidak dapat dielakkan disebabkan proses pengeringan air di dalam paip sedia ada mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan.

"Proses ini penting bagi memastikan keselamatan petugas-petugas dan kontraktor Air Selangor terjamin semasa kerja-kerja kimpalan paip baharu dilakukan," kata kenyataan terbabit.

Kenyataan itu memberitahu, bekalan air juga telah mula disalurkan kepada pengguna bermula jam 11:35 malam Selasa dengan proses pemulihan bekalan air adalah secara berperingkat-peringkat.

"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada permintaan bekalan air, jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan," katanya.

Justeru, katanya, Air Selangor akan memaklumkan status pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua saluran komunikasi rasmi.

Sebelum ini, Air Selangor memaklumkan kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip berkenaan telah dimulakan pada pagi Selasa.

Artikel Berkaitan:

Ketua Komunikasi Korporat, Air Selangor, Elena Basri berkata, kerja-kerja itu mengikut jadual seperti yang diumumkan pada 24 Mac lalu.