Rossi, Morbidelli tekad menyerlah di GP Doha

Valentino Rossi. - Foto Petronas SRT
Valentino Rossi. - Foto Petronas SRT
A
A
A

GANDINGAN pelumba Itali dalam Petronas Yamaha Sepang Racing Team, Valentino Rossi dan Franco Morbidelli mahu bangkit kembali dalam Grand Prix (GP) Doha hujung minggu ini selepas keputusan yang mengecewakan dalam pembukaan musim di Grand Prix (GP) Qatar minggu lepas.

Pada pusingan kedua yang akan berlangsung di litar sama, Litar Antarabangsa Losail, juara dunia sembilan kali Valentino Rossi menyasarkan kemenangan podium kesembilannya di litar itu, selepas dua tahun tidak memperolehnya sejak menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada 2018.

Pelumba berusia 42 tahun itu yang mendapat kedudukan di petak keempat dengan catatan lap masa terpantas di litar berkenaan semasa ujian kelayakan tetapi hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat ke-12.

“Kami mengharap lebih daripada GP Qatar tetapi saya terpaksa bergelut dalam perlumbaan dan kami mengalami masalah tayar belakang. Kami masih lagi positif untuk mengharungi pusingan seterusnya kerana kedudukan keempat dalam ujian kelayakan adalah keputusan yang baik.

"Sekarang, kami akan menganalisis data secara menyeluruh sebelum acara latihan bebas (pada Jumaat) dan cuba menyelesaikan masalah yang kami hadapi, cuba meningkatkan penghayatan perlumbaan dan moga-moga hujung minggu ini kami memperoleh keputusan yang baik,” katanya dalam satu kenyataan pasukan.

Sementara itu, Franco Morbidelli yang menamatkan GP Qatar di tempat ke-18 kerana masalah mekanikal mahu kembali merebut kejuaraan setelah muncul naib juara keseluruhan MotoGP musim lepas.

“Ia akan menjadi hujung minggu yang rumit. Kami mendapati selepas ujian pramusim dan selepas perlumbaan ada yang tidak kena dengan pakej kami. Ada ketika ia berfungsi dengan baik, kami mempunyai kelajuan yang baik pada tengah hari sebelum hari bertukar gelap.

"Kami perlu menganalisis data dari hujung minggu lepas untuk memahami mengapa. Saya berharap kami mampu menyelesaikan masalah dihadapi hujung minggu ini, kami akan melihat apa yang berlaku. Jika tidak, ia akan menjadi satu hujung minggu untuk mengurangkan kesilapan dengan kami cuba untuk mempertahankan atau mendapatkan mata yang kami mampu,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: