Vaksin: KBS sedia bantu Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus

KBS sedia membantu menguruskan proses suntikan vaksin kepada jaguh berbasikal kebangsaan, Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang kini berada di Australia. - Foto Azizulhasni Awang
KBS sedia membantu menguruskan proses suntikan vaksin kepada jaguh berbasikal kebangsaan, Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang kini berada di Australia. - Foto Azizulhasni Awang
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedia membantu menguruskan proses suntikan vaksin kepada jaguh berbasikal kebangsaan, Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang kini berada di Australia.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tiada keperluan buat Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus, yang kini sedang menjalani latihan di Melbourne, untuk menerima vaksin di Malaysia sekiranya mereka telah disuntik di negara berkenaan.

“Ini kerana kebanyakan negara mengamalkan vaksin untuk semua orang termasuk golongan migran seperti yang diamalkan oleh Malaysia. Sekiranya dalam tempoh tertentu mereka belum lagi menerima vaksin di Australia, mereka akan disuntik di sini.

“Ini kerana kedua-dua mereka termasuk dalam senarai 264 atlet dan pegawai diminta KBS sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program ‘Beyond Coaching’ Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) di sini, pada Selasa.

Pada Februari lalu, Reezal Merican dilapor berkata, kesemua 264 atlet dan pegawai yang akan mewakili negara ke kejohanan antarabangsa dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Tokyo dijangka menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula April ini.

Mereka merupakan kumpulan pertama daripada keseluruhan 4,000 atlet dan pegawai dalam senarai KBS untuk diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama.

Mohd Azizulhasni yang juga terkenal dengan julukan 'The Pocket Rocketman' layak ke Olimpik Tokyo melalui acara kegemarannya, keirin serta acara pecut individu manakala Muhammad Shah Firdaus bagi acara pecut.

Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, beliau telah memohon kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Cpvid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin semalam untuk menetapkan tarikh bagi suntikan vaksin kepada mereka.

“Namun, ia bergantung kepada bekalan kerana walaupun kita menerima jumlah vaksin yang banyak, harus diingat ia disimpan kepada individu yang bakal menerima suntikan kedua,” katanya.

Sementara itu, Reezal Merican menyifatkan program ‘Beyond Coaching’ bakal memberi satu dimensi baharu terhadap peranan jurulatih dalam pemimpin dan memacu kemajuan sukan tanah air.

Katanya, antara inisiatif baharu diperkenalkan adalah logo baharu AKK, program pembelajaran dalam talian AKK, pelancaran ‘Malaysia Sports Coach Registry’, program ‘Women Can Coach’, program ‘Sports Coaching +’.

Selain itu, memorandum persefahahaman (MoU) antara AKK, Institut Sukan Negara (ISN) bersama Universiti Malaya dimeterai dalam menjalankan program diploma eksekutif untuk memberi peluang kepada jurulatih menimba ilmu dalam kejurulatihan sukan. - Bernama