Biro Politik Bersatu bincang keputusan UMNO malam ini

Pegawai-pegawai bertugas sedang menunggu ketibaan Biro Politik Bersatu di Publika pada Selasa.
Pegawai-pegawai bertugas sedang menunggu ketibaan Biro Politik Bersatu di Publika pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Biro Politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengadakan mesyuarat bagi membincangkan keputusan UMNO di Publika, di sini pada malam ini.

Difahamkan antara yang hadir ialah Perdana Menteri selaku Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Bagaimanapun, Sinar Harian hanya melihat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Serikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun memasuki pejabat tersebut.

Publika merupakan pejabat Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Pada Ahad, UMNO meluluskan usul supaya presiden parti dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi mandat menentukan bila-bila masa untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usul memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu yang menerajui kerajaan PN itu dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan parti yang menghadiri perhimpunan itu.

Perhimpunan itu turut meluluskan usul Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) seramai 42 orang tidak akan bersama kerajaan PN apabila Parlimen dibubarkan.

Ekoran daripada itu, beberapa menteri daripada UMNO mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin di Bangunan Perdana Putra, petang Isnin.

Artikel Berkaitan: