Modi beri amaran

Sebuah van sarat bahan letupan merempuh konvoi pasukan separa tentera di wilayah Kashmir, semalam. Gambar kecil: Modi
A
A

NEW DELHI - INDIA. Perdana Menteri India, Narendra Modi berikrar akan bertindak balas dengan tegas terhadap insiden pengeboman kereta di wilayah Kashmir.

"Saya mahu memberitahu kumpulan pengganas dan ketua mereka bahawa mereka telah melakukan kesilapan besar. Mereka akan menerima padah," tegasnya selepas mesyuarat kecemasan Kabinet pada Jumaat.

Serangan berdarah menjelang Pilihan Raya Umum di India pada Mei depan itu juga bakal meletakkan Modi di bawah tekanan politik untuk bertindak terhadap militan dan Pakistan.

Sekurang-kurangnya 33 anggota separa tentera India selepas sebuah van sarat bahan letupan merempuh konvoi mereka berhampiran bandar Srinagar.

Tidak lama selepas insiden berdarah itu, kumpulan militan berpusat di Pakistan, Jaish-e-Mohammad (JeM) mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan tersebut.

New Delhi bagaimanapun menuduh Islamabad melindungi militan yang mendalangi insiden, semalam yang disifatkan sebagai serangan paling berdarah dalam tempoh tiga dekad di wilayah yang berada di bawah kawalan India.

Pakistan bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut walaupun India mendakwa ia mempunyai bukti penglibatan Islamabad.

Terdahulu, Menteri Kabinet, Arun Jaitley berkata, New Delhi akan mengambil segala langkah diplomatik untuk memastikan pengasingan Pakistan secara sepenuhnya termasuk menghapuskan hak istimewa perdagangan istimewa (MFN).

Sebagai respons, Kementerian Luar di Islamabad dengan tegas menolak segala sindiran yang dilontarkan media India dan kerajaan yang cuba mengaitkan Pakistan tanpa melakukan siasatan.

Jammu dan Kashmir adalah sebuah wilayah pertikaian antara India dan Pakistan yang mana kedua-dua belah pihak itu telah terlibat dalam peperangan sejak pembahagian pada 1947. - Agensi


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia