Laluan Terusan Suez dibuka semula

Pemeriksaan akan dilakukan ke atas MV Ever Given yang mengibarkan bendera Panama itu sebelum ia dibenarkan meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya selepas berjaya dialihkan pada awal pagi Isnin. (gambar kecil) - Foto: AFP
Pemeriksaan akan dilakukan ke atas MV Ever Given yang mengibarkan bendera Panama itu sebelum ia dibenarkan meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya selepas berjaya dialihkan pada awal pagi Isnin. (gambar kecil) - Foto: AFP
A
A
A

KAHERAH - Terusan Suez di Mesir kembali beroperasi seperti biasa pada awal pagi Isnin selepas kapal kontena gergasi yang menghalang laluan perdagangan paling sibuk selama hampir seminggu berjaya diapungkan.

Rakaman TV tempatan menunjukkan beberapa kru kapal tunda membunyikan hon kabut sebagai meraikan kejayaan mereka yang akhirnya dapat mengalihkan MV Ever Given itu yang turut disertai pasukan daripada firma Belanda, Smit Salvage dan anggota Pihak Berkuasa Suez (SCA).

“Tekanan waktu bagi menjayakan operasi sukar tersebut tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Ketua Eksekutif Smit Salvage, Peter Berdowski sambil menambah kira-kira 30,000 kubik meter pasir terpaksa dikorek untuk mengapungkan kapal seberat 224,000 tan itu.

Sementara itu, Ketua SCA, Laksamana Osama Rabie turut mengumumkan pembukaan semula laluan tersebut.

Difahamkan, kemuncak air pasang telah membantu operasi disertai flotila kapal penunda dan pengorek untuk mengapungkan kapal MV Ever Given tersebut yang tersekat di tebing berpasir.

Data satelit daripada MarineTraffic.com mengesahkan kapal kontena itu telah bergerak dari pinggir laut menuju ke pusat jalan air utama.

Evergreen Line di Taiwan yang menyewa kapal itu dalam satu kenyataan memaklumkan pemeriksaan akan dilakukan ke atas MV Ever Given di Great Bitter Lake yang memisahkan dua bahagian terusan tersebut sebelum ia dibenarkan berlayar ke destinasi seterusnya.

Rabie juga mengesahkan pemeriksaan awal mendapati tiada kontena yang rosak dan pemeriksaan kedua akan dilakukan untuk menentukan laporan yang lebih tepat.

Artikel Berkaitan:

Kedudukan kapal MV Ever Given berukuran 400 meter panjang dan lebih besar daripada saiz empat padang bola sepak yang melintang di Terusan Suez akibat ribut pasir sejak 23 Mac lalu telah menyebabkan kesesakan yang teruk di bahagian selatan laluan itu yang memendekkan tempoh perjalanan antara Eropah dan Asia. - Agensi

INFO:

> Perdagangan global terpaksa menanggung kerugian sehingga AS$9 bilion (RM37.3 bilion) sehari.

> Mesir menganggarkan penutupan Terusan Suez itu mengakibatkan kerugian berjumlah kira-kira AS$12 juta (RM49.8 juta) hingga AS$14 juta (RM58.1 juta) setiap hari.

> Kesesakan kira-kira 425 kapal di laluan itu yang membawa pelbagai bekalan termasuk minyak mentah dan haiwan ternakan dijangka dapat diredakan dalam tempoh tiga hingga empat hari.

> Kumpulan perkapalan kontena terbesar, Maersk menjangkakan gangguan terhadap penghantaran gobal mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan untuk kembali pulih.

> Sebanyak 11 kapal penunda dan dua kapal penunda canggih digunakan untuk mengalihkan kapal MV Ever Given itu.