'Kerajaan PN Johor boleh tumbang bila-bila masa'

Md Nasir (duduk, tengah) dan Dr Sahruddin (duduk, kiri) ketika mengadakan sidang akhbar menyatakan pendirian Bersatu Johor berkenaan kenyataan Menteri Besar Johor dalam PAU 2020, di Pejabat Bersatu Pagoh, Muar pada Selasa.
Md Nasir (duduk, tengah) dan Dr Sahruddin (duduk, kiri) ketika mengadakan sidang akhbar menyatakan pendirian Bersatu Johor berkenaan kenyataan Menteri Besar Johor dalam PAU 2020, di Pejabat Bersatu Pagoh, Muar pada Selasa.
A
A
A

MUAR - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor boleh runtuh pada bila-bila masa sekiranya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak berpuas hati dengan kenyataan Menteri Besar Johor dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 sekali gus menarik sokongan terhadapnya.

Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Ir Md Nasir Hashim berkata, sewajarnya Datuk Ir Hasni Mohammad lebih matang dan cermat dalam membuat sebarang kenyataan melibatkan parti yang mendukung kerajaan negeri pada hari ini.

"Bersatu Johor kecewa dengan kenyataan Hasni dan ini jelas memperlekehkan kedudukan dan sumbangan Bersatu dalam permuafakatan kerajaan negeri Johor.

"Sehingga kini Bersatu masih lagi sebuah parti yang membentuk kerajaan negeri dan membolehkan kerajaan negeri berfungsi dengan baik.

"Sebagai seorang menteri besar, beliau sepatutnya lebih berhemah dengan menghormati Bersatu sebagai parti yang mendukung kerajaan negeri dan kedudukan beliau sendiri sebagai menteri besar," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Bersatu Pagoh, di sini pada Selasa.

Hadir sama Setiausaha PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang juga bekas Menteri Besari Johor.

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO sempena PAU 2020 pada Ahad berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin lemah di kawasannya dan berdasarkan kajian UMNO Johor, orang Melayu di negeri itu yang menyokong PN hanya 26 peratus.

"Biar kami rancang cara mana dan bagaimana untuk kami melemahkan Bersatu di Johor. Ini kerana pengerusinya adalah Perdana Menteri yang akan membawa segala bentuk kekuatan dan keupayaan yang ada. Ini untuk memastikan beliau dan partinya berkuasa di Johor," kata Hasni.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: MB Johor dakwa Muhyiddin lemah di Pagoh

Mengulas lanjut, Md Nasir berkata, pihaknya muak dan sedih dengan kenyataan-kenyataan pemimpin UMNO dalam dan luar kerajaan pada hari ini.

Katanya, sepatutnya Hasni memberi tumpuan memerangi pandemik Covid-19, membangunkan ekonomi, bekerjasama dalam satu pasukan di bawah PN dan bukan berpolitik sempit atau cuba menjadi hero dalam UMNO.

"Jika sikap angkuh dan sombong beliau berterusan, hubungan baik antara parti yang membentuk kerajaan negeri akan tercalar dan ini akan memberi tanggapan negatif rakyat terhadap kestabilan dan kewibawaan kerajaan negeri," katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mempunyai 56 kerusi dengan ketika ini membabitkan PN sebanyak 29 kerusi dan pembangkang (27 kerusi).

Pecahan 29 kerusi PN tersebut ialah 14 dimiliki UMNO, selain Bersatu (12), MIC (dua) dan Pas (satu), Pakatan Harapan (PH) pula mempunyai 14 kerusi DAP, selain Parti Amanah Negara (sembilan) dan Parti Keadilan Rakyat (empat).