X

Kindly register in order to view this article
!

Sarawak bakal umum keputusan hubungan dengan kerajaan Persekutuan

Abang Johari ketika menghadiri taklimat oleh pelbagai agensi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lubok Antu/Nanga Badau hari ini. - Foto Bernama
A
A

LUBOK ANTU - Kerajaan negeri Sarawak akan membuat keputusan mengenai hubungan negeri itu dengan kerajaan Persekutuan tidak lama lagi, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Selasa.

Tanpa menjelaskan secara terperinci tentang keputusan itu, beliau memberikan bayangan ia berkaitan dengan tuntutan negeri ini bagi mendapatkan kembali haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“(Usaha mendapatkan kembali hak Sarawak di bawah) MA63 masih kita laksanakan dan diperjuangkan dan saya yakin bahawa tidak lama lagi kita akan membuat keputusan (mengenai) perhubungan negeri kita dalam Persekutuan Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis bersama rakyat di Kompleks Sukan Lubok Antu di sini.

Menurutnya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpinnya dan dianggotai empat parti tempatan yang membentuk kerajaan negeri masih kekal sebagai rakan kepada Perikatan Nasional (PN) bagi membantu membentuk kerajaan Persekutuan, tetapi tidak sebagai ahli PN.

“GPS hanya sebagai rakan bukan ahli PN. Dasar kita (GPS) lebih berautonomi, bebas dalam kita membangunkan negeri kita kerana ia sesuai dengan kehendak (rakyat) negeri kita,” katanya yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), salah sebuah parti dalam GPS.

Abang Johari meninjau Projek Rakyat Waterfront Lubok Antu, hari ini. - Foto Bernama
Abang Johari meninjau Projek Rakyat Waterfront Lubok Antu, hari ini. - Foto Bernama

Bagaimanapun, pada sidang akhbar selepas majlis itu, Abang Johari enggan mengulas lanjut berhubung kenyataannya berkenaan keputusan hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.

Selain PBB, parti lain dalam GPS yang ditubuhkan pada Jun 2018 adalah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Abang Johari tiba pada jam 10.30 pagi dengan menaiki sebuah helikopter dari bandar raya Kuching bagi mendengar taklimat daripada pelbagai agensi penguatkuasaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini.

Lubok Antu merupakan sebuah daerah yang bersempadanan dengan wilayah Kalimantan, Indonesia.

Seterusnya beliau dibawa melihat Projek Rakyat Tebingan Sungai Lubok Antu sebelum menghadiri program bersama rakyat di kompleks sukan tersebut. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!