Gantung Parlimen bukti kerajaan lemah

Akmal Nasrullah Mohd Nasir - Foto FB Akmal Nasir
Akmal Nasrullah Mohd Nasir - Foto FB Akmal Nasir
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggantung sidang Parlimen sehingga hari ini membuktikan kelemahan pentadbiran kerajaan dalam menguruskan hal ehwal rakyat dan negara.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, dalam keadaan sekarang, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu segera menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memanggil sidang Parlimen.

Beliau turut mengingatkan agar kerajaan tidak terus menggunakan dalih perbahasan di Parlimen akan melambatkan kelulusan undang-undang.

"Impak yang sangat jelas ekoran proklamasi darurat ini akan menjejaskan ekonomi Malaysia.

"Maknanya, pelaburan asing ke negara ini terbantut kerana pelabur tidak yakin terhadap pengurusan kerajaan hari ini," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Selasa.

Akmal yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), turut menggesa pemimpin eksekutif untuk menghentikan helah kononnya kelulusan Parlimen akan melambatkan sesetengah proses.

Jelasnya, mereka patut lebih bertanggungjawab berbincang dan berunding sekiranya memang benar ada perkara-perkara yang memerlukan perubahan atau benturan undang-undang bagi mempercepatkan proses tertentu.

"Menggantung Parlimen hanyalah jalan mengelak pertanggungjawaban dan membius proses teras semak dan imbang daripada berfungsi sewajarnya," katanya.

Artikel Berkaitan: