Kelayakan ACL – Yeop azam beri persembahan terbaik

Sesi latihan kesebelasan Perak pagi tadi
A
A

BIARPUN berdepan masalah kecederaan enam pemain, namun kesebelasan Perak akan tetap cuba memberikan persembahan terbaik pada aksi berdepan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai pada aksi ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Ulsan Munsu, 19 Februari ini.

Ketua jurulatih Perak, Mehmed Durakovic berkata, kesebelasan utama pemain hanya ditentukan selepas sesi latihan terakhir sebelum berangkat ke Korea Selatan, esok.

“Pada sesi latihan esok, kita nak lihat siapakah yang akan diturunkan.

"Bukan mudah untuk menentang pasukan lawan yang berada dalam kelas tersendiri dan dilabel sebagai antara pasukan terbaik di benua Asia, yang pasti, tugas sukar menanti kita dan diharapkan semua pemain dapat memberikan aksi yang terbaik ,” katanya.

Durakovic berkata demikian ketika ditemui sempen sesi latihan skuad Kejor Yeop Skor itu di Stadium Perak, pagi tadi.

Sementara itu, Durakovic berharap agar kesebelasan pemain dapat bersedia untuk beraksi dalam cuaca sejuk di Korea Selatan ketika ini.

Biarpun kesebelasan pemain diyakini tidak biasa beraksi dalam keadaan cuaca sebegini, namun ia diharap tidak dijadikan alasan.

“Bukan mudah kerana kali pertama kita bertemu dengan Ulsan Hyundai.

"Pemain juga tidak biasa beraksi dalam keadaan cuaca sejuk, apapun, tugas kita adalah memberikan persembahan terbaik,” katanya.