Syarat 30 peratus kehadiran di pejabat dibatalkan

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membatalkan syarat pematuhan 30 peratus kehadiran pekerja di pejabat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa 1 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembatalan syarat itu berikutan cadangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memberi peluang kepada pihak pengurusan serta penyelia sesebuah syarikat beroperasi pada tahap maksimum.

Beliau berkata, antara justifikasi keputusan itu ialah arahan bekerja dari rumah yang dikeluarkan kepada syarikat perkilangan sukar dilaksanakan kerana operasi tidak dapat dilakukan secara meluas.

“Selain itu, operasi pengilangan sering melibatkan proses kompleks dan teknikal dengan kehadiran pasukan berbeza yang terdiri daripada kakitangan pengurusan serta penyelia dan pada masa yang sama, mereka dikehendaki bekerja secara serentak.

“Arahan ini berkuat kuasa 1 April ini dan maklumat lanjut berkenaan prosedur operasi standard (SOP) boleh dirujuk di laman web MKN,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini pada Selasa.

Bagi kakitangan perkhidmatan awam, Ismail Sabri berkata, kapasti kehadiran kakitangan di pejabat tertakluk kepada pekeliling dan arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) manakala sektor swasta dibenarkan kehadiran kakitangan 100 peratus di pejabat bagi bahagian pengurusan, penyelia, operasi serta sokongan.

Kerajaan juga memutuskan untuk membenarkan pembantu rumah yang mempunyai visa dan terkandas di negara masing-masing akibat penutupan sempadan untuk kembali bekerja di Malaysia.

Beliau berkata kebenaran itu perlu dimohon melalui My Travel Pass.

Artikel Berkaitan:

“Setelah mendapat kebenaran, mereka perlu menjalani ujian saringan dan dikuarantin wajib mengikut SOP yang telah ditetapkan selain kos kuarantin perlu ditanggung oleh majikan masing-masing,” katanya.

Mengulas rayuan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut memutuskan untuk membenarkan pemprosesan permohonan pengambilan pembantu rumah oleh agensi itu.

“Bagaimanapun, kemasukan ke Malaysia tertakluk kepada pembukaan sempadan negara atau mendapat kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan berkompromi terhadap golongan selebriti yang didakwa melanggar SOP PKPB dengan melancong ke negeri lain, Ismail Sabri berkata, sesiapa sahaja boleh melaporkan kesalahan terbabit kepada pihak berkuasa untuk sebarang tindakan.

"Seperti dikatakan sebelum ini, tidak ada sesiapa dalam negara ini boleh mengatasi undang-undang tak kira dia golongan kenamaan atau bukan kenamaan, semua yang didapati melanggar SOP akan dikenakan tindakan.

"Kerajaan sudah sediakan peraturan dan hukuman kompaun berdasarkan kesalahan dilakukan, jadi tindakan penguatkuasaan adalah daripada pihak polis atau Jabatan Kesihatan mahupun sesiapa sahaja yang diberikan kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Jadi kalau ada sebarang kes, tak kira melibatkan selebriti atau sesiapa sahaja, boleh dilaporkan," katanya.

Beliau turut mengulas cadangan mewajibkan penugasan pasukan pemantau pematuhan SOP di majlis awam seperti perkahwinan yang dilaporkan melanggar SOP.

"Kerajaan memang membuka dan melonggarkan kebenaran mengadakan mana-mana majlis seperti itu namun dengan syarat ketat yang wajib dipatuhi.

"Selain setiap majlis berkenaan disediakan dengan mesin pengimbas kod MySejahtera, pengimbas suhu, cecair pembasmi kuman, menyediakan meja dengan penjarakan fizikal satu meter, ia turut merangkumi penyediaan pasukan pemantau bagi memastikan SOP terbabit dipatuhi," katanya.

Beliau berkata, pasukan pemantau terbabit terdiri daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi mana-mana majlis diadakan di luar dewan atau di kawasan kampung manakala petugas hotel bagi majlis di premis terbabit.

"Mereka ditugaskan memantau pematuhan SOP di majlis berkenaan dan benda itu sememangnya sudah ada, sama ada ia dipatuhi atau tidak, pihak Rela atau petugas hotel yang ditugaskan memantau SOP akan melaporkan jika tiada sebarang pematuhan berlaku," katanya. - Bernama