Penduduk Bukit Malut bukan warga Rohingya, kata Dr Mahathir

Dr Mahathir (dua dari kanan) berjumpa dengan beberapa penduduk di kawasan Bukit Malut, Langkawi pada Selasa. - Foto FB Dr Mahathir
Dr Mahathir (dua dari kanan) berjumpa dengan beberapa penduduk di kawasan Bukit Malut, Langkawi pada Selasa. - Foto FB Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, penduduk di kawasan penempatan Bukit Malut, Langkawi bukanlah warga Rohingya.

Sebaliknya beliau berkata, mereka adalah penduduk asal negeri Kedah yang merantau ke Thailand dan Myanmar kemudian kembali semula ke Langkawi.

“Orang Bukit Malut ini bukan orang Rohingya, mereka ini orang Melayu yang berhijrah ke Thailand dan Myanmar dan balik semula ke sini, mereka fasih berbahasa Melayu.

“Masyarakat yang tinggal di sini ialah orang Kedah yang merantau keluar dan balik semula dan buka penempatan di sini.

“Asalnya tidak ramai tapi setelah beranak pinak jadi bertambah. Bertambah bukanlah orang baharu tetapi orang asal sini,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya pada Selasa.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menegaskan isu Bukit Malut sengaja dimainkan tanpa selidik oleh sesetengah pihak.

“Saya lihat isu ini selalu dimainkan tanpa memahami apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, hampir 80 peratus masyarakat di kawasan berkenaan bekerja sebagai nelayan dan membekalkan hasil laut untuk pasaran tempatan.

Artikel Berkaitan:

“Dari segi ekonomi pula, mereka ini berdikari dengan mendapat hasil kegiatan ekonomi tanpa bergantung kepada kerajaan,” ujarnya.

Dr Mahathir berkata, beliau sebelum ini pernah merancang untuk mewujudkan penempatan yang lebih teratur dengan bekalan air dan eletrik selain membina jalan yang lebih sempurna.

“Penduduk di sini terima dan tidak bantah dengan rancangan yang mahu dibuat sebelum ini.

“Sekarang perancangan sudah ada, peruntukan pun sudah dimohon, tinggal lagi terserah kepada kerajaan sekarang untuk tentukan penyelesaian masalah di sini,” katanya.

Pada 24 Mac lalu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) segera mengambil tindakan bagi menyelesaikan isu penempatan di Bukit Malut, Langkawi yang majoritinya dikaitkan dengan pendatang dari Myanmar.

Muhammad Sanusi berkata, beliau difahamkan isu itu semakin parah berikutan bilangan rumah yang dibina di kawasan berkenaan semakin bertambah.

ARTIKEL BERKAITAN: Penempatan haram Bukit Malut dikhuatiri semakin membesar

Setiap kali saya #PulangKeLangkawi ada saja yang akan komen berkenaan Bukit Malut. Hari ini sekali lagi saya turun ke...

Posted by Dr. Mahathir bin Mohamad on Monday, March 29, 2021