Perincian SOP jemaah haji dibincang bersama Arab Saudi

Zulkifli (dua dari kanan) menyerahkan replika cek Musaadah Covid-19 kepada Pengarah IQDAR, Syeikh Kadri Abdul Hamid di Alor Setar pada Selasa.
Zulkifli (dua dari kanan) menyerahkan replika cek Musaadah Covid-19 kepada Pengarah IQDAR, Syeikh Kadri Abdul Hamid di Alor Setar pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan akan mendapatkan maklumat terperinci berhubung prosedur operasi standard (SOP) kemasukan jemaah haji dan umrah ke Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohd Al Bakri berkata, perkara itu akan dimuktamadkan ketika beliau dan pasukan teknikal berkunjung ke Arab Saudi bagi memperincikan SOP antara kedua-dua negara.

"Insya-ALLAH saya sendiri akan pergi dalam seminggu dua lagi ke sana untuk melihat dan membincangkan SOP sama ada di pihak negara kita atau Arab Saudi.

Tarikh ke sana belum dapat ditentukan lagi.

"Ulasan panjang lebar mengenainya akan diberi selepas pulang dari sana," katanya selepas Lawatan Mahabbah dan Pelancaran Dana Wajar Yayasan Islam Negeri Kedah di Institut al-Quran Darul Aman (IQDAR), di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Zulkifli dilaporkan berkata, SOP serta kuota ibadah umrah dan haji akan dikemas kini dari masa ke masa bagi memastikan ia memenuhi syarat kerajaan Arab Saudi.

Garis panduan SOP itu sudah wujud tetapi perlu dikemas kini berdasarkan suasana terkini Covid-19.

Beliau berkata, SOP berkenaan perlu diserahkan kepada kerajaan Arab Saudi untuk diteliti dan mendapat pengesahan bagi memudahkan jemaah haji Malaysia mengerjakan ibadat tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai suntikan vaksin kepada jemaah, beliau berkata, pihaknya akan berkolaboratif dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menentukan garis panduan bersesuaian.

“MOSTI dan KKM secara umumnya sedia beri kerjasama dengan kita namun kita perlu dapatkan keputusan dan syarat-syarat ditetapkan Arab Saudi terlebih dahulu.

Selepas itu kita akan berusaha untuk mematuhi syarat-syarat semaksimum mungkin," katanya.

Bagaimanapun Zulkifli berkata, ia hanya akan dibuat selepas pihaknya memperoleh syarat-syarat ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr Tawfiq al-Rabiah dilaporkan berkata, antara syarat utama kemasukan jemaah haji pada Julai depan ialah wajib mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.