Guru baharu di Sabah perlu bersedia fizikal, mental

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Guru baru dilantik di Sabah diingatkan sentiasa bersedia menyahut cabaran fizikal, mental dan emosi dalam menggalas tanggungjawab sebagai pendidik selain bijak membudayakan persekitaran pembelajaran kondusif di sekolah.

Pengarah Pendidikan Sabah, Misterine Radin berkata, guru-guru pada era ini perlu berfikiran jauh selain mempunyai persediaan fizikal dan mental kukuh serta memiliki kekuatan mengawal tingkah laku kerana elemen itu penting bagi mengangkat lagi imej mereka sebagai seorang pendidik profesional dan berwibawa.

"Guru-guru perlu mempamerkan budi bahasa dan sikap baik yang boleh menjadi ikutan pelajar selain peka dengan persekitaran serta keperluan pelajar. Semua warga pendidik ketika ini berada dalam fasa mencabar kerana kita sedang melalui transformasi pendidikan berskala besar yang bakal mengubah landskap pendidikan negara.

“Justeru, saya mahu guru-guru baru dilantik memahami matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi menyediakan pelajar mendepani masa depan," katanya berucap pada Majlis Taklimat Penempatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Mohd Zaini Yanin.

Seramai 182 guru baharu menerima surat pelantikan untuk ditempatkan di sekolah menengah seluruh Sabah dan penempatan kesemua guru terbabit adalah berdasarkan kepada keperluan perkhidmatan.

Misterine berkata Jabatan Pendidikan Sabah komited merealisasikan Dasar 90:10 bagi memastikan sasaran 90 peratus guru kelahiran Sabah tercapai menjelang 2021.- Bernama

Artikel Berkaitan: