X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Negeri Sembilan lulus 443 projek bernilai RM41.97 juta

Aminuddin memegang nombor cabutan kerja undi fasa 1 yang diadakan secara live streaming di Wisma Negeri, Seremban pada Selasa.
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan sebanyak 443 projek dengan peruntukan sebanyak RM41.97 juta bagi tujuan rangsangan ekonomi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setiap projek bernilai tidak melebihi RM100,000 dan tidak kurang daripada RM80,000.

"Pada fasa 1 tahun 2021 kerja undi, sebanyak 1,561 kontraktor telah berjaya memenuhi syarat daripada 1,753 bilangan kontraktor yang mendaftar melalui online untuk kerja-kerja undi ini.

"Jumlah kontraktor yang mendaftar secara online tersebut merangkumi 65 peratus daripada jumlah kontraktor Bumiputera berdaftar di bawah kelas G1," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena program Cabutan Kerja Undi Penyenggaraan Jalan Di Bawah Peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) Negeri Sembilan Tahun 2021 Fasa 1 yang diadakan secara live streaming di Wisma Negeri, di sini pada Selasa.

Berkenaan program diadakan, beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada program pembangunan kontraktor Bumiputera di Negeri Sembilan.

Aminuddin berkata, pembangunan kontraktor merupakan sebahagian elemen penting dalam pembangunan sektor pembinaan negeri secara menyeluruh.

"Justeru, adalah menjadi harapan saya pelaksanaan program cabutan undi ini dapat membuka ruang dan peluang kepada kontraktor Bumiputera untuk lebih maju ke hadapan.

"Saya juga berharap agar kontraktor yang dipilih akan terus berusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan dapat menyiapkan kerja-kerja yang diamanahkan dengan cekap dan berkualiti," katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan kontraktor yang dilantik supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) industri pembinaan semasa melaksanakan kerja-kerja tersebut bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Katanya, projek berkenaan perlu dimulakan selewat-lewatnya pada April dan disiapkan pada Jun depan, bagi membolehkan pembayaran kerja siap dapat dibuat dengan segera dan mencapai objektif yang telah ditetapkan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!