Pembaharuan sektor perkhidmatan penting bagi Malaysia

Penting bagi MaIaysia untuk melakukan pembaharuan dalam sektor perkhidmatannya untuk capai perkhidmatan yang maju dan inovasi bagi pertumbuhan ekonomi pasca Covid-19. Gambar hiasan 123RF
Penting bagi MaIaysia untuk melakukan pembaharuan dalam sektor perkhidmatannya untuk capai perkhidmatan yang maju dan inovasi bagi pertumbuhan ekonomi pasca Covid-19. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

PENTING bagi MaIaysia untuk melakukan pembaharuan dalam sektor perkhidmatannya untuk mencapai perkhidmatan yang maju dan inovasi bagi pertumbuhan ekonomi pasca Covid-19, kata Dr Aaditya Mattoo, Ketua Ahli Ekonomi Rantau Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia.

Beliau berpandangan beberapa sekatan yang dikenakan terutamanya akses ke pasaran Malaysia perlu dikaji semula untuk menarik lebih banyak perdagangan dan pelaburan dalam sektor perkhidmatan pada masa depan.

“Malaysia meraih manfaat daripada keterbukaan dalam perdagangan dan pelaburan barangan, tetapi mengapa masih meneruskan sekatan dalam perkhidmatan?

“Ada tiga tunggak dalam pembaharuan -- membukakan pasaran dengan menghapuskan sekatan kemasukan dan mengurangkan budi bicara dalam pelesenan; beralih daripada peraturan konvensional (kepada yang lebih moden dan canggih); dan menambah baik akses kepada perkhidmatan,” katanya pada Siri Ceramah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi di sini, pada Selasa.

Ceramah yang diadakan secara maya bertajuk ‘Future Economic and Business Landscape’ itu dimudahcarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mattoo berkata, cabaran struktur jangka panjang lain yang perlu ditangani Malaysia ialah defisit inovasi dan pengehadan fiskal.

Menurutnya, pertumbuhan produktiviti Malaysia agak perlahan berbanding negara-negara saingannya dengan ramai daripada rakyat Malaysia yang berbakat bekerja di luar negara.

Justeru, katanya, amat mustahak untuk melahir dan mengekalkan modal insan berkemahiran di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Mengenai kekangan fiskal, beliau berkata, banyak negara di rantau ini mempunyai kesedaran untuk mengguna pakai pendekatan cukai rendah, dan pendapatan langsung serta cukai komoditi Malaysia agak luar biasa rendah berbanding standard global.

Negara-negara perlu berkongsi maklumat kerana sukar dalam dunia hari ini untuk menaikkan cukai kerana pelabur asing boleh lari ke negara-negara lain, katanya.

Beliau mencadangkan kerjasama cukai serantau yang lebih kukuh perlu dijalin sepenuhnya bagi membantu meningkatkan kutipan hasil Malaysia, yang menunjukkan aliran menurun sejak 2012.

“Kerjasama serantau adalah lebih baik berbanding persaingan sesama negara jiran untuk menarik pelaburan dengan mengurangkan cukai atau memberikan kelonggaran cukai.

“Mungkin anda tidak boleh melakukannya hari ini (menaikkan cukai) tetapi anda boleh meluluskan pembaharuan itu hari ini dan melaksanakannya lima tahun dari sekarang,” katanya. - Bernama