X

Kindly register in order to view this article
!

100 juta dos vaksin sudah diguna di China

Sebanyak 100 juta dos vaksin Covid-19 telah digunakan di China. - Foto AFP
A
A

BEIJING - 100 juta dos!...jumlah vaksin Covid-19 yang telah digunakan di China, dan juga yang sudah disediakan kepada negara-negara lain.

Dalam situasi getir ketika ini iaitu apabila virus sedang rancak bermutasi, rakyat juga kian lelah selepas mengharungi tempoh kawalan wabak selama lebih setahun, sekali gus meletakkan risiko penularan wabak Covid-19 kekal pada tahap yang tinggi.

Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes Covid-19 di seluruh dunia kini mencecah lebih 126 juta.

Dalam keadaan norma baharu ketika ini, pencegahan dan kawalan wabak serta vaksinasi dianggap langkah paling berkesan untuk perlindungan diri.

Di China, 100 juta dos vaksin yang digunakan dilihat memberi sumbangan besar kepada pemulihan sosioekonomi domestik.

Sejak 24 Mac, China mula memaklumkan jumlah penggunaan vaksin kepada orang awam setiap hari. Kini, penggunaan vaksin harian mencatat kira-kira lima juta dos di seluruh negara dan sasarannya adalah lapan juta dos sehari.

Menurut perancangan, sehingga hujung Julai, kadar penggunaan vaksin dijangka mencatat 40 peratus, iaitu 1.12 bilion dos akan digunakan untuk 560 juta orang. Keyakinan rakyat terhadap vaksin yang semakin meningkat turut melicinkan program vaksinasi di China.

Mengenai program ujian vaksin keluaran China, sukarelawan kumpulan pertama yang menerina vaksin tersebut telah memasuki bulan kesembilan.

Berdasarkan pemantauan terhadap penerima terbabit, antibodi masih berkesan sementara tiada gejala teruk dilaporkan dan secara tidak langsung membantu menepis kebimbangan dan perspektif negatif segelintir pihak.

Dalam pada itu, kerajaan China juga bersikap objektif dan saintifik bagi menggalakkan vaksinasi termasuk dengan membenarkan vaksin diambil secara bersyarat.

Pada peringkat awal penggunaan vaksin, hanya golongan dewasa yang dibenarkan untuk menerimanya.

Kini warga emas yang sihat pula disarankan menerima vaksin selepas data keselamatan telah dikumpul secukupnya.

Dengan penggunaan vaksin secara besar-besaran, penulis menyaksikan sendiri pemulihan industri perfileman dan pelancongan di China.

Sebagai contoh, filem Hollywood Godzilla vs Kong di China telah mencatatkan kutipan tiket lebih RMB100 juta (RM63 juta) hanya dalam empat hari selepas ditayangkan.

Sementara itu hotel di kebanyakan destinasi pelancongan utama di China seperti Sanya telah habis ditempah sempena cuti Hari Pekerja pada 1 Mei.

Selain mengutamakan nyawa rakyat, China juga berusaha menyediakan perlindungan kepada dunia, khususnya negara-negara membangun.

Dalam perkembangan terkini, bantuan vaksin yang disumbangkan China tiba di Maldives pada 24 Mac, manakala vaksin untuk Ukraine sampai di negara itu pada 25 Mac.

Keesokan harinya pula, pesawat khas yang membawa 1.5 juta dos vaksin Sinovac berlepas dari Lapangan Terbang Daxing Beijing ke Kemboja, manakala pada hari yang sama, bantuan vaksin kumpulan pertama dari China tiba di Sudan.

Pada 28 Mac, dua kumpulan bahan vaksin yang disediakan China tiba di Brazil untuk dibotolkan, dan hari seterusnya menyaksikan, sejuta dos vaksin Sinovac selamat sampai di Manila, Filipina.

Kini, membantu perjuangan melawan Covid-19 di dunia menjadi rutin bagi China.

Memetik kata-kata Presiden Xi Jinping, "mekarnya bunga sekuntum bukanlah musim bunga" bermaksud kaedah paling berkesan untuk melindungi diri sendiri adalah dengan turut sama membantu melindungi orang lain. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!