Zakat fitrah RM5 mungkin tidak dilaksanakan tahun ini di Kedah

Gambar hiasan. Gambar kecil: Zakaria
Gambar hiasan. Gambar kecil: Zakaria
A
A
A
ALOR SETAR - Kadar zakat fitrah RM5 yang diperkenalkan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) tahun lepas berkemungkinan tidak dilaksanakan tahun ini berikutan tiada sambutan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Zakaria Othman berkata, zakat fitrah RM5 bagi beras super tempatan 10 hingga 15 peratus hancur diperkenalkan tahun lepas bagi memberi ruang kepada golongan kurang berkemampuan menunaikan kewajipan zakat.

Zakaria berkata, tahun lepas, kadar baharu berkenaan diperkenalkan untuk orang miskin susulan situasi Covid-19 yang melanda negara dalam usaha mengimbangi kehidupan golongan berkenaan.

"Bagaimanapun, pengenalan kadar zakat fitrah baharu tidak mendapat sambutan langsung apabila orang miskin di negeri ini tidak mahu bayar ikut kadar diperkenalkan untuk meringankan beban mereka.

"Walaupun tidak berkemampuan, orang miskin seperti penerima bantuan rela membayar ikut kadar sedia ada kerana merasakan tidak biasa dengan jumlah RM5," katanya ketika diminta mengulas perkembangan kadar zakat fitrah RM5 diperkenalkan tahun lalu.

Katanya, Kedah antara dua negeri yang memperkenalkan kadar zakat baharu bagi menunjukkan bahawa Islam merupakan agama adil apabila memberi kelonggaran terhadap golongan berkenaan.

Zakaria berkata, sehubungan itu, LZNK mengenakan kadar zakat baharu yang dikurangkan kepada minima RM5 untuk golongan berkenaan memandangkan prihatin dengan nasib mereka yang perlu menanggung jumlah cukup tinggi serta memiliki tanggungan ramai.

"Sebagai contoh, seramai tujuh sekeluarga perlu membayar RM35 mengikut kadar baharu. Bagi golongan tidak berkemampuan jumlah itu sudah cukup tinggi untuk mereka.

"Jadi, kita kurangkan kepada kadar minima untuk membolehkan mereka menunaikan kewajipan zakat seperti orang lain, namun mereka tidak mahu dan tiada sambutan,"katanya.
Artikel Berkaitan:


Katanya, pihaknya belum membuat keputusan berhubung perkara itu namun lebih kepada tidak melaksanakannya ekoran tidak mahu lagi membazirkan wang untuk kos cetak resit RM5 memandangkan golongan terlibat tidak mahu pakai kadar baharu.

Dalam perkembangan sama, katanya, LZNK merancang memperluaskan penggunaan QR Code untuk pembayaran zakat susulan kutipan bayaran zakat fitrah melalui dalam talian tahun lepas menunjukkan peningkatan mendadak dari RM140,000 pada 2019 kepada RN1.4 juta pada tahun lepas.