Parti Melayu jangan ulang kesilapan lalu: Pas

Mohd Tarmizi (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan dan pendaftaran SSPN kepada seorang ibu yang baharu melahirkan anak di Kampung Permatang Badak pada Selasa.
Mohd Tarmizi (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan dan pendaftaran SSPN kepada seorang ibu yang baharu melahirkan anak di Kampung Permatang Badak pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Pas Pahang mengingatkan semua kepimpinan parti Melayu agar tidak mengulangi kesilapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana ia merugikan parti dominan Melayu untuk membentuk kerajaan stabil.

Ketua Penerangan Pas, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, sebaliknya UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu bersatu padu dan tetap berpegang pada prinsip penyatuan ummah sekaligus dapat mengelak parti-parti Melayu menjadi lemah.

Menurutnya, penyatuan ketiga-tiga parti ini perlu bagi mengelak berlakunya pertembungan tiga atau empat penjuru pada PRU15.

"Kita (parti Melayu) jangan ulang kesilapan lalu. Kita masing-masing kena terbuka menerima kekurangan dan kelebihan yang ada pada parti lawan (Pakatan Harapan).

"Jangan semata-mata melihat kepada kekuatan parti kita sendiri yang akhirnya tidak memberi kemenangan kepada bangsa Melayu. Jadi kita kena melihat kepentingan Islam dan ummah Melayu dulu, sebelum memikirkan kepentingan parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pelancaran Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panching kepada ibu bersalin di Kampung Permatang Badak pada Selasa.

Pas sebelum ini didakwa 'mandi dalam dua kolam' apabila menjalinkan kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional dan turut berada di bawah satu bumbung dengan Parti Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut mengenai dakwaan itu, Mohd Tarmizi berkata, Pas tidak mahu parti Melayu memilih jalan merugikan parti Melayu pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, justeru matlamat Pas adalah untuk penyatuan ummah dan bukan semata-mata penyatuan parti politik.

"Kalau Pas hanya mementingkan parti, kita (Pas) berpakat (permuafakatan) dengan parti yang menang sahaja. Tetapi apa yang berlaku pada hari ini, kita berpakat dengan UMNO selepas mereka kalah, maknanya kita berpakat bukan kerana kuasa.

"Perkara sama juga dengan Bersatu. Jadi sebab itu, kita ajak semua pemimpin parti Melayu (UMNO dan Bersatu) bersama untuk masa depan ummah serta dapat membentuk kerajaan yang solid (kuat) dengan majoriti besar," katanya.